fb fb fb fb fb

Bekas Presiden Peru dipenjara lebih 20 tahun atas kes rasuah

Alejandro Toledo / Foto AFP

LIMA, 22 Oktober - Mahkamah Peru telah menjatuhkan hukuman penjara lebih 20 tahun ke atas bekas Presiden, Alejandro Toledo setelah didapati bersalah menerima rasuah berjuta-juta dolar daripada konglomerat pembinaan Brazil, Odebrecht, yang terpalit dengan skandal rasuah antarabangsa.

Mahkamah Tinggi Peru telah menerima cadangan hukuman daripada pihak pendakwa dan keputusan itu diumumkan dalam sesi pendengaran yang turut dihadiri oleh Toledo, 78, yang pernah memimpin negara itu dari tahun 2001 hingga 2006.

Mahkamah mendapati, beliau menerima AS$35 juta daripada Odebrecht sebagai pertukaran untuk kontrak membina dua bahagian lebuh raya antarabangsa yang menghubungkan pantai Pasifik Peru dan pantai Atlantik Brazil.

Toledo telah diekstradisi dari Amerika Syarikat tahun lalu, selepas tinggal beberapa tahun di negara itu sebelum menyerah diri di sebuah mahkamah persekutuan di California.

Odebrecht, yang kini telah menukar namanya kepada Novonor, mengaku membayar ratusan juta dolar di seluruh Amerika Latin untuk mendapatkan kontrak projek awam besar.

Toledo merupakan salah seorang daripada beberapa bekas Presiden yang terlibat dalam siasatan besar-besaran ke atas syarikat tersebut.

Antara yang turut terpalit dalam skandal itu termasuk bekas Presiden Alan Garcia, yang telah membunuh diri pada tahun 2019 ketika polis tiba di rumahnya untuk menahan beliau, dan Pedro Pablo Kuczynski yang menjadi Presiden Amerika Latin pertama meletakkan jawatan pada 2018 berikutan dakwaan penglibatan dalam skandal Odebrecht.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN