fb fb fb fb fb

Anwar dijangka bertemu PM Thailand esok

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin di Sadao, Thailand, esok.

KUALA LUMPUR, 26 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin di Sadao, Thailand, esok.

Menerusi kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata pertemuan itu untuk memajukan kerjasama bagi pembangunan kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

"Ia juga memberi tumpuan kepada mempercepatkan pembinaan projek utama kesalinghubungan di sempadan yang bertujuan menggalakkan perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Projek itu termasuk jajaran jalan antara Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Sadao, Thailand dan Bukit Kayu Hitam serta pembinaan jambatan kedua di Sungai Golok-Rantau Panjang.

"Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan turut melawat jajaran jalan yang menghubungkan CIQ Sadao baharu di Thailand dan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia.

"Kedua-dua pemimpin juga akan terlibat dalam mesyuarat terhad diikuti dengan majlis makan tengah hari yang dihoskan Srettha sebagai penghormatan kepada lawatan Anwar," katanya.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada lawatan rasmi Srettha ke Malaysia pada 11 dan 12 Oktober lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM