KHARTOUM, 17 Ogos -Sekurang-kurangnya 31 orang termasuk tujuh kanak-kanak dan seorang wanita hamil terbunuh manakala 13 lagi cedera pada Sabtu dalam serangan di bandar El Fasher, barat Sudan, menurut kumpulan sukarelawan, lapor Xinhua.
Sudan Doctors Network, sebuah kumpulan sukarelawan dalam satu kenyataan mendakwa serangan didalangi pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) disifatkan “jenayah keji” dengan menyasarkan kem pelarian Abu Shouk menggunakan artileri.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa pengepungan berterusan di El Fasher menyebabkan kekurangan kritikal ubat-ubatan, kakitangan perubatan dan makanan, sekali gus mendedahkan ribuan wanita serta kanak-kanak kepada kematian.
Sementara itu, Jawatankuasa Penentangan di El Fasher, sebuah lagi kumpulan sukarelawan berkata serangan RSF bermula awal pagi dan berlanjutan hingga tengah hari mencetuskan panik dalam kalangan orang awam, mengakibatkan perpindahan baharu, selain banyak korban serta kerosakan terhadap rumah dan infrastruktur.
Setakat ini tiada kenyataan segera daripada pihak RSF berhubung insiden berkenaan.
Konflik di Sudan meletus pada April 2023 akibat perebutan kuasa antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF, memusnahkan infrastruktur negara, meragut puluhan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk berpindah dan mencetuskan krisis kemanusiaan.
El Fasher, ibu negeri Darfur Utara telah menjadi pusat konflik dan dikepung oleh RSF sejak Mei 2024.- BERNAMA