RAIPUR, 17 Januari - Pasukan keselamatan India menembak mati 12 pemberontak Maoist dalam pertempuran di daerah Bijapur, Chhattisgarh, semalam.
Kerajaan India mempergiatkan operasi membanteras pemberontakan yang telah meragut lebih 10,000 nyawa di negara itu.
Tahun lalu, lebih 200 pemberontak terbunuh, kebanyakannya di Chhattisgarh.
Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, menyasarkan pemberontakan ini dihentikan sepenuhnya menjelang 2026.
Pemberontakan Maoist kerap mencetuskan serangan maut, termasuk menyerang dengan meletakkan bom tepi jalan awal bulan ini yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan anggota tentera India.
Seminggu selepas itu, tentera India menembak mati sekurang-kurangnya lima gerila, manakala letupan bom berasingan mencederakan dua pegawai polis.
Serangan besar sebelumnya menyaksikan 22 anggota keselamatan maut pada 2021 dan 16 komando terkorban dalam serangan bom di Maharashtra menjelang pilihan raya kebangsaan pada 2019.