Zii Jia tarik diri Thailand Masters 2026

Lee Zii Jia terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika aksi suku akhir Thailand Masters 2026 menentang Alwi Farhan dari Indonesia di Stadium Nimibutr, Bangkok, hari ini/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Perjalanan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, di Thailand Masters 2026 berakhir di peringkat suku akhir selepas beliau terpaksa menarik diri ketika aksi set penentuan akibat kecederaan, sebentar tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lee Zii Jia terpaksa tarik diri pada set penentuan akibat kecederaan ketika suku akhir Thailand Masters 2026.
  • Kekalahan teknikal kepada Alwi Farhan mengakhiri cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki.
  • Perlawanan menyaksikan Zii Jia memenangi set pertama tetapi gagal teruskan selepas kecederaan.

Zii Jia yang terikat 1-1 menentang pemain Indonesia, Alwi Farhan, tidak dapat meneruskan perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada pilihan kedua kejohanan itu untuk mara ke separuh akhir menentang rakan senegaranya, Moh Zaki Ubaidillah.

Pada pertemuan pertama antara kedua-dua pemain, bekas pemain nombor dua dunia itu mempamerkan prestasi meyakinkan apabila mendominasi set pertama dengan kemenangan mudah 21-10 dalam tempoh hanya 12 minit.

Bagaimanapun, Zii Jia, bermula perlahan pada set kedua apabila ketinggalan jauh 1-9 sebelum menutup separuh permainan dengan keputusan 2-11.

Pemain berusia 28 tahun itu cuba bangkit dengan merapatkan jurang kepada 10-15 dan seterusnya memberi tekanan kepada Alwi apabila mengejar sehingga 15-17.

Namun, Alwi, kekal tenang untuk mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga bagaimanapun tidak dapat diteruskan apabila Zii Jia, yang kini menghuni ranking ke-79 dunia, dipercayai mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri daripada perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki di kejohanan itu berakhir lebih awal.