KUALA LUMPUR, 7 Jannuari – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, menegaskan beliau bersedia menyarung jersi kebangsaan sekiranya diperlukan, namun menekankan prestasi peribadi sebagai keutamaan sebelum membuat sebarang komitmen, terutama menjelang kejohanan utama seperti Piala Thomas dan Sukan Asia tahun ini.
- Zii Jia sedia sarung jersi kebangsaan jika diperlukan, tetapi prestasi peribadi kekal keutamaan sebelum membuat komitmen.
- Beliau mahu tahap keyakinan sekitar 70–80 peratus sebelum mempertimbangkan wakil Piala Thomas.
- Beberapa siri kejohanan BWF akan dijadikan penanda aras untuk menilai kecergasan dan kesediaan sebenar.
- Kemunculan semula selepas rehat 111 hari berakhir dengan kekalahan kepada lawan India, menunjukkan masih belum pulih sepenuhnya.
- Dia menilai prestasi kini sekitar 50–60 peratus selepas kecederaan ligamen buku lali dan tempoh pemulihan panjang.
Zii Jia berkata, walaupun ramai pihak melihat kehadirannya sebagai elemen penting dalam pasukan, beliau tidak mahu sekadar melengkapkan senarai pemain tanpa kesiapsiagaan yang benar-benar memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Saya sentiasa bersedia jika pasukan perlukan saya. Tapi dari segi keyakinan sendiri, saya perlu berada pada tahap sekurang-kurangnya 70–80 peratus baru berasa yakin untuk mewakili Piala Thomas. Kalau saya diletakkan sebagai perseorangan ketiga, saya rasa itu bukan kelebihan sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Axiata Arena, semalam.
Zii Jia berkata beberapa siri kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan menjadi penanda aras utama untuk menilai tahap kecergasan dan kesediaan sebenar sebelum membuat keputusan mengenai penglibatan dengan pasukan negara.
Kemunculan semula pemain berusia 28 tahun itu selepas 111 hari berehat menyaksikan beliau berdepan kekecewaan apabila tewas kepada pemain India Ayush Shetty, 12-21, 17-21 dalam tempoh 39 minit.
Zii Jia mengakui beliau masih belum berada pada tahap terbaik, menilai prestasi semasa sekitar 50–60 peratus sahaja.
Walaupun kini berada pada kedudukan ranking ke-144 dunia, Zii Jia masih menikmati perlindungan ranking nombor lapan dunia, membolehkannya menyertai kejohanan utama dalam tempoh tertentu.
Pemain itu mengalami kecederaan ligamen buku lali kanan semasa BWF World Tour Finals Disember 2024 dan mengambil beberapa bulan untuk pemulihan. Beliau kembali pada awal 2025 di Orléans Masters dan All England, namun masih belum pulih sepenuhnya.
Masalah kecederaan menyebabkan beliau terpaksa berehat sebelum Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos, menarik diri dari Masters China pada September lalu, dan akhirnya mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi menjalani proses pemulihan. – BERNAMA