
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mencipta sejarah apabila dianugerahkan sebagai Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2025.
- Beregu campuran itu menjadi pasangan pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia, mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.
- Kemenangan mereka menewaskan empat calon lain dan menjadikan mereka gandingan ketiga dari badminton menerima anugerah utama SAM.
- Bonnie Bunyau Gustin dinobat Atlet Para Terbaik selepas mengekalkan gelaran dunia, menjadikan rekod empat kemenangan sama dengan Azizulhasni.
Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan pasangan ranking keempat dunia tersebut muncul beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia.
Kejayaan itu sekali gus mengetepikan cabaran empat lagi calon daripada pelbagai jenis sukan.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menjadi gandingan ketiga dari sukan badminton meraih anugerah berprestij itu selepas pasangan beregu lelaki Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock serta Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Sementara itu, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik selepas berjaya mempertahankan gelaran dunia di Kaherah, Mesir tahun lalu.
Anugerah itu menjadi kemenangan keempat Bonnie dalam kategori berkenaan, sekali gus menyamai rekod legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai penerima terbanyak anugerah utama SAM-100PLUS.
Pemenang bagi kedua-dua kategori membawa pulang trofi serta wang tunai RM10,000 yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.