Armed Forces HT raih tiga mata berharga

Armed Forces HT (jersi merah) menewaskan Territory Stingers 5-4 dalam saingan Liga Hoki TNB 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pasukan Armed Forces HT berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Territory Stingers 5-4 dalam aksi dramatik saingan Liga Hoki TNB 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Armed Forces HT bangkit selepas ketinggalan awal dan mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat.
  • Beberapa pemain meledak gol: Muhammad Hafiezuddin, Granson Noel Goden, Mohamad Isma Jazlan, Tengku Ahmad dan Mohamad Sufian; Billy Fahy dua gol untuk Stingers.
  • Kemenangan melonjakkan Armed Forces HT ke tangga keenam dengan tujuh mata, Territory Stingers kekal di kedudukan kelapan.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Territory Stingers terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Tarrant Haami-Jones hasil pukulan sudut penalti.

Namun, Armed Forces HT bangkit menyusun rentak permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali, juga melalui sudut penalti.

Antara aksi dalam perlawanan Armed Forces HT menentang Territory Stingers – Foto RTM

Tiga minit kemudian, Granson Noel Goden meletakkan Armed Forces HT di hadapan selepas menyempurnakan gol padang pada minit ke-19.

Territory Stingers bagaimanapun tidak mengalah apabila Cameron Cooke berjaya menjaringkan gol pada minit ke-30 untuk kedudukan 2-2.

Aksi kemudian semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Armed Forces HT kembali di depan menerusi jaringan Mohamad Isma Jazlan Ismail pada minit ke-36.

Antara aksi dalam perlawanan Armed Forces HT menentang Territory Stingers – Foto RTM

Dua minit berselang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menambah jaringan buat Armed Forces HT pada minit ke-38 untuk kedudukan 4-2, sekali gus memberikan tekanan besar kepada lawan.

Armed Forces HT kemudian menjarakkan lagi kedudukan hasil jaringan Mohamad Sufian Bin Marsom pada minit ke-43.

Territory Stingers cuba bangkit dan Billy Fahy meledak dua gol masing-masing pada minit ke-46 dan ke-50 untuk memastikan perlawanan terus hidup hingga ke penghujung aksi.

Antara aksi dalam perlawanan Armed Forces HT menentang Territory Stingers – Foto RTM

Namun, pengalaman dan ketenangan Armed Forces HT dalam mengawal tempo permainan membolehkan mereka mempertahankan kelebihan hingga wisel penamat dibunyikan untuk menang dengan keputusan 5-4.

Kemenangan tersebut turut melonjakkan Armed Forces HT ke tangga keenam liga dengan kutipan tujuh mata, manakala Territory Stingers kekal di kedudukan kelapan selepas hanya mengumpul tiga mata setakat ini.