Sukan Asia 2026 : Skuad badminton lelaki singkir Mongolia, Indonesia menanti pada suku akhir

Skuad negara mara ke suku akhir untuk berdepan pilihan utama kejohanan, Indonesia

AICHI, 21 September – Malaysia membuka langkah bergaya dalam acara badminton berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi–Nagoya 2026 apabila mudah menewaskan Mongolia
3-0 pada pusingan pertama di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Leong Jun Hao membuka mata negara menewaskan Batdavaa Munkhbat 21-13, 21-12.
  • Gandingan beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin menang meyakinkan 21-5, 21-5 menentang Bishrelt-Erdene Odbayar-Battugs Bayarsaikhan.
  • Justin Hoh melengkapkan kemenangan negara selepas menewaskan Gerelsukh Jargalsaikhan 21-7, 21-5.
  • Pengarah kejurulatihan Rexy Mainaky mahu pemain fokus semua lima perlawanan dan manfaatkan pengalaman gelanggang sebelum berdepan Indonesia.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mara ke suku akhir untuk berdepan cabaran lebih getir menentang pilihan utama kejohanan, Indonesia, esok.

Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, terlebih dahulu menyumbang mata pembukaan buat Malaysia selepas menundukkan Batdavaa Munkhbat 21-13, 21-12.

Gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kemudian menggandakan kelebihan negara dengan kemenangan cukup meyakinkan 21-5, 21-5 menentang Bishrelt-Erdene Odbayar-Battugs Bayarsaikhan.

Justin Hoh akhirnya melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia apabila menewaskan Gerelsukh Jargalsaikhan 21-7, 21-5 dalam aksi perseorangan kedua.

Pertembungan menentang Indonesia dijangka menjadi medan sebenar buat Malaysia menguji kemampuan selepas membuka kempen dengan aksi dominan terhadap Mongolia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky berkata aksi menentang Mongolia penting bagi pemain mendapatkan gambaran awal tentang keadaan gelanggang sebelum menghadapi Indonesia pada suku akhir.

“Kita harapkan menerusi perlawanan dengan Mongolia, sekurang-kurangnya kita sudah cuba keadaan venue ini. Semoga pemain boleh ambil pengalaman ini sebagai satu kelebihan,” katanya.

Beliau berkata skuad negara tidak seharusnya terlalu memikirkan status Indonesia sebagai pilihan utama, sebaliknya perlu memberikan tumpuan pada kesemua lima perlawanan yang bakal berlangsung nanti.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.