
KUALA LUMPUR, 18 Mac– Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 diletakkan sebagai misi utama skuad hoki lelaki negara dalam usaha memburu tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
- Sasaran realistik: menang emas atau sekurang-kurangnya mara ke final untuk kukuhkan laluan kelayakan Olimpik.
- Jika tidak memenangi emas, perlunya meraih pingat perak untuk memastikan kedudukan terbaik kelayakan.
- Kedudukan dunia kini ke-15 membimbangkan dan jurang kecil membuka risiko jatuh ke tangga 16 atau 17.
- MHC tekankan prestasi konsisten dalam setiap kejohanan untuk memperkukuh ranking dan pastikan sasaran Olimpik kekal di landasan tepat.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu menjadi medan paling kritikal buat Speedy Tigers bagi memastikan peluang terbaik untuk kembali ke pentas Olimpik.
Menurut beliau, sasaran realistik perlu dicapai sama ada meraih pingat emas atau sekurang-kurangnya mara ke pentas akhir bagi mengukuhkan kedudukan dalam laluan kelayakan.
“Jika tidak memenangi emas sekali pun, sekurang-kurangnya kita perlu meraih pingat perak untuk memastikan kedudukan terbaik bagi kelayakan ke Olimpik seterusnya,” katanya pada sesi sidang media di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kedudukan semasa skuad negara yang berada di tangga ke-15 dunia menimbulkan kebimbangan.
Katanya, jurang mata yang kecil dengan pasukan di belakang membuka risiko Malaysia terus tergelincir dalam ranking dunia sekiranya gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam kejohanan akan datang.
“Jika kita tidak berhati-hati, kita boleh jatuh ke ranking ke-16 atau ke-17 dunia kerana jurang mata dengan negara di bawah kita hanya sekitar 20 mata,” jelasnya.
Sehubungan itu, MHC menekankan kepentingan prestasi konsisten dalam setiap kejohanan sebagai langkah memperkukuh kedudukan ranking selain memastikan sasaran ke Olimpik 2028 kekal berada di landasan tepat.