
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak rakyat Malaysia menjadikan platform penyiar awam itu sebagai pilihan utama untuk mengikuti kemeriahan kempen Piala Dunia 2026.
- RTM mengajak rakyat menjadikan platform ini pilihan utama untuk mengikuti kemeriahan Piala Dunia 2026, menyatukan pelbagai latar belakang.
- RTM akan memanfaatkan kemajuan teknologi dan platform digital supaya kandungan mudah diakses dan capaian menjadi lebih meluas.
- RTM berjaya menyajikan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 dengan perbelanjaan kerajaan lebih rendah berbanding edisi lalu.
- Kerjasama erat bersama Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi dan rakan strategik memastikan penyiaran memenuhi minat dan keperluan rakyat.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, siaran langsung Piala Dunia di RTM bukan mengenai perlawanan bola sepak, sebaliknya menjadi medium yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
“Sukan secara umumnya ini menyatukan kita semua sebagai insan. Kita memilih untuk membawakan Piala Dunia 2026 kerana itu yang dimahukan oleh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak tempatan.
“Dan umum tahu bola sepak ini adalah sukan utama di Malaysia dan mereka ingin menonton apakah kelainan Piala Dunia kali ini berbanding edisi yang lepas, “katanya.
Menurut beliau, RTM juga akan menampilkan kelainan pada saingan kali ini dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan platform digital bagi memastikan kandungan dapat diakses dengan lebih mudah serta meluas.
Selain siaran langsung kesemua 104 perlawanan, RTM turut menyediakan pelbagai kandungan sampingan bagi memberi nilai tambah kepada pengalaman penonton sepanjang kejohanan berlangsung.
Tambah Ashwad, usaha menyajikan siaran langsung Piala Dunia 2026 kepada rakyat terhasil menerusi kerjasama erat antara RTM, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi tempatan serta pelbagai rakan strategik yang memahami minat dan keperluan rakyat.
Sementara itu, beliau mengakui kempen Piala Dunia 2026 antara pencapaian penting RTM berikutan kejayaan menyajikan semua perlawanan dengan kos yang lebih rendah berbanding edisi terdahulu.
“Kali ini jika dibandingkan dengan yang lepas, dana kerajaan adalah yang terendah jika dibandingkan piala dunia lepas. Piala Dunia edisi Piala Dunia 2022, duit kerajaan ataupun pihak RTM membelanjakan sekitar RM33 juta. Kali ini kita berbelanja sebanyak hanya RM26.2 juta dan semua dapat menonton 104 perlawanan,”ujar beliau.
Untuk itu, Ashwad berharap penyiaran Piala Dunia kali ini dapat memberi pengalaman yang lebih baik kepada penonton setia RTM, selain memperkukuhkan kedudukan RTM sebagai platform pilihan rakyat untuk mendapatkan kandungan sukan berkualiti.
“Saya harap rakyat Malaysia dapat menikmati Piala Dunia 2026 kali ini dengan lebih baik berbanding edisi yang lepas,” katanya.