MAHA 2026 bakal dimeriahkan dengan pempamer luar negara

Foto FB Mohamad Sabu

KLANG, 20 Jun – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal dimeriahkan dengan penyertaan pempamer luar negara, sekali gus memberikan nilai tambah baharu kepada penganjuran acara dwitahunan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara sah penyertaan termasuk Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.
  • Penyertaan luar negara membuka peluang kemas kini teknologi, pendedahan pasaran dan sesi pemadanan perniagaan untuk beli atau jual produk.
  • Pelancaran Portal SISDA memanfaatkan analitis data raya, pembelajaran mesin dan sistem amaran awal untuk pemantauan bekalan dan pasaran agromakanan.
  • Sebanyak RM4.4 juta insentif dan geran disalurkan kepada 215 usahawan agromakanan di Zon Tengah.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Brazil, China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Hungary dan Wilayah Guangxi.

“Insya-Allah MAHA akan berjalan dengan baik dengan penyertaan luar negara pada tahun ini agak meningkat.

“Uzbekistan mungkin akan hadir dan beberapa negara yang lain (masih menunggu pengesahan penyertaan) ” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Road To MAHA 2026 Zon Tengah, di sini hari.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Isham Ishak berkata penyertaan negara-negara berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh para peserta untuk mengemas kini pengetahuan dan teknologi terkini membabitkan sektor pertanian.

“Ia juga memberikan peluang kepada peserta negara ataupun pengunjung untuk melihat peluang-peluang yang ada disediakan oleh negara luar berkenaan dan juga pempamer-pempamer kita.

“Jadi kita juga akan ada sesi pemadanan perniagaan yang memberi mereka berpeluang untuk sama ada membeli ataupun menjual produk.

“Peserta kita juga ada peluang yang sama, iaitu membeli ataupun menjual produk-produk daripada luar negara terbabit,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad turut melancarkan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pasaran Agromakanan (SISDA) yang dibangunkan bagi memperkukuh sistem pemantauan bekalan dan pasaran makanan negara.

SISDA memanfaatkan teknologi analitis data raya, pembelajaran mesin dan sistem amaran awal untuk membantu kerajaan membuat unjuran serta melaksanakan intervensi yang lebih tepat dan berkesan.

Melalui sistem berkenaan, kerajaan dapat memantau keadaan bekalan, permintaan dan trend harga secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan bekalan makanan, harga yang berpatutan kepada pengguna serta pulangan lebih baik kepada pengusaha sektor agromakanan.

Pada majlis sama, sebanyak RM4.4 juta insentif dan bantuan geran telah disalurkan kepada 215 usahawan agromakanan di Zon Tengah menerusi pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.