
BUTTERWORTH, 20 Jun – Media tempatan perlu bekerjasama dalam mendepani cabaran platform digital global yang semakin dominan bagi memastikan kelangsungan industri media negara.
- Pemain industri perlu saling melengkapi dan bekerjasama supaya sektor media berkembang secara sihat dan mampan.
- Platform digital antarabangsa seperti Meta, Facebook dan TikTok menguasai majoriti pasaran pengiklanan dan audiens.
- Fokus bukan persaingan dalaman tetapi berganding bahu menghadapi syarikat gergasi antarabangsa.
- Gabungan tenaga diperlukan untuk memastikan kandungan tempatan kekal relevan dan mampu bersaing dalam era digital.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, pendekatan saling melengkapi antara pemain industri media amat penting bagi membolehkan sektor berkenaan berkembang secara sihat dan mampan.
Menurut beliau, cabaran terbesar ketika ini datang daripada platform digital antarabangsa yang menguasai sebahagian besar pasaran media dan pengiklanan.
“Kita tidak melihat kepada persaingan antara media dalam negara, sebaliknya kita saling melengkapi antara satu sama lain untuk mendepani perubahan, terutamanya berhadapan dengan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Meta, Facebook dan TikTok.
“Ini hanya contoh platform yang kita boleh sebut. Jika dilihat pada landskap semasa, platform-platform ini menguasai majoriti pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir ke Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, di sini.
Menurutnya lagi, semua pemain industri perlu berganding bahu sebagai satu kekuatan bagi memastikan kandungan tempatan kekal relevan serta mampu bersaing dalam era digital.