Renang: Eliza tamat debut gemilang dengan tujuh emas di SUKMA Selangor 2026

Atlet Selangor , Eliza Tan Ai Shen memenangi Emas dalam acara 100 Meter Gaya Bebas Wanita dengan catatan masa 56.78/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Ogos – Perenang muda Selangor Eliza Tan Ai Shen menutup penampilan sulung di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan penuh bergaya apabila meraih tujuh pingat emas sekali gus membuka peluang untuk menyarung jersi skuad renang kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memenangi acara 50m gaya bebas dengan masa 26.44s, mengatasi Nadia Lim dan Leo Wei Wen.
  • Membantu Selangor kekal di puncak carta renang dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa.
  • Mencatat rekod peribadi terbaik dalam ketiga-tiga acara individu yang disertainya.
  • Memecahkan rekod kebangsaan 100m gaya bebas dengan 56.78s serta membantu pasukan memecah beberapa rekod SUKMA acara berkumpulan.

Atlet berusia 19 tahun itu melengkapkan koleksi emasnya selepas menjuarai acara 50 meter (m) gaya bebas wanita dengan catatan 26.44 saat di Pusat Akuatik Selangor di sini hari ini mengatasi Nadia Lim dari Perak yang meraih perak (26.56s) manakala Leo Wei Wen dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa (26.89s).

Kejayaan itu turut membantu Selangor terus mengukuhkan kedudukan di puncak carta pungutan pingat renang dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa, keseluruhan 38 pingat.

Eliza berkata penampilan pertama di pentas SUKMA memberikan pengalaman cukup bermakna selepas berjaya mencatatkan masa terbaik peribadi (PB) dalam ketiga-tiga acara individu yang disertainya.

“Saya sememangnya amat gembira dengan prestasi saya pada Sukma kali ini… saya mencatat rekod terbaik peribadi (PB) dalam ketiga-tiga acara individu dan berharap selepas berbincang dengan jurulatih, saya berpeluang terpilih mewakili Malaysia tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan di sini hari ini.

Menyentuh mengenai perancangan selepas ini, Eliza berkata beliau akan terus bekerja keras selepas kembali ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian di universiti dan berharap dapat menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Bagi Eliza, kejayaan tujuh emas itu juga tidak pernah berada dalam jangkaannya sebelum temasya bermula malah mengakui terkejut selepas memenangi emas pertama.

Untuk rekod, atlet itu sebelum ini memungut emas dalam acara 4x100m gaya bebas wanita dengan catatan 3:54.54s yang turut mencatat rekod SUKMA, 4x200m gaya bebas wanita (8:36.12s), juga meleburkan rekod SUKMA, serta 4x100m rampaian campuran (4:00.35s).

Beliau turut menggondol emas menerusi acara 4x100m rampaian wanita dengan catatan 4:18.87s.

Dalam acara individu, Eliza merekodkan 2:05.26s dalam 200m gaya bebas wanita manakala catatan 56.78s dalam 100m gaya bebas wanita turut menyaksikan beliau memecahkan rekod kebangsaan. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.