Pahang raih emas berganda hoki SUKMA 2026

Pemain hoki Pahang Muhammad Nor Daniel Md Nor Effendy bersorak selepas menjaringkan gol pada SUKMA Selangor 2026/Foto BERNAMA

KLANG, 23 Ogos – Skuad hoki lelaki Pahang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus menebus kekecewaan pada edisi 2024 di Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Nor Daniel Md Nor Effendy membuka jaringan pada suku pertama final.
  • Kryshant Jiwa Mohan menyamakan kedudukan pada suku kedua, mengheret perlawanan ke pukulan penalti.
  • Pahang dinobatkan juara selepas menewaskan Pulau Pinang 4-2 melalui pukulan penentuan penalti.
  • Skuad wanita raih hatrik juara SUKMA selepas tewaskan Wilayah Persekutuan 6-5 menerusi pukulan penalti.

Kejayaan itu cukup bermakna buat skuad Tok Gajah kendalian Mohd Sufian Mohamad yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dua tahun lepas setelah tewas kepada Perak menerusi pukulan penentuan penalti.

Pada aksi final di Stadium Hoki Pandamaran hari ini, Pahang membuka tirai jaringan pada suku pertama permainan menerusi Muhammad Nor Daniel Md Nor Effendy.

Pulau Pinang bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada suku kedua menerusi Kryshant Jiwa Mohan, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi pukulan penentuan penalti.

Pahang dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Pulau Pinang 4-2.

Ketua jurulatih skuad lelaki Pahang Mohd Sufian menyifatkan kejayaan itu hasil ketahanan mental dan keupayaan pemain menyerap tekanan dalam perlawanan yang berlangsung sengit.

“Memang sengit. Saya memang jangka perlawanan menentang Pulau Pinang hari ini akan menjadi sengit. Pemain-pemain kami berjaya menyerap tekanan itu dan alhamdulillah, kami berjaya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, bagi saingan wanita pula, Pahang mencipta sejarah baharu di pentas SUKMA apabila muncul juara tiga edisi berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 6-5 menerusi pukulan penentuan penalti.

Terdahulu, kapten Pahang Zati Alyani Muhammad Zubir membuka tirai jaringan pada suku kedua permainan sebelum Puteri Nur Amalina Mohd Rashid menyamakan kedudukan buat Wilayah Persekutuan, yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa permainan sebenar.

Ketua jurulatih skuad wanita Pahang Mohamad Sabri Mohamad berkata pengorbanan, disiplin serta kesungguhan yang dibina sejak awal persiapan akhirnya membuahkan hasil apabila pasukan itu berjaya melakar hatrik emas.

“Saya percaya kami ada cukup pengalaman mengambil pukulan penentuan penalti tadi. Pemain dan penjaga gol kami tunjukkan permainan yang cukup cemerlang.

“Latihan serta komitmen pemain sangat disiplin kerana mereka memang mahu memenangi emas. Mereka menjalani latihan lebih awal dan tidak pulang ke rumah. Pengorbanan mereka membantu Pahang menang emas kali ini,” katanya.

Kejayaan kedua-dua skuad itu menyaksikan Pahang menutup saingan hoki SUKMA Selangor 2026 dengan pencapaian emas berganda. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.