
PARIS, 5 November – Bintang Sepanyol Carlos Alcaraz mendapat laluan percuma (walkover) ke peringkat suku akhir Paris Masters pada Khamis selepas pencabarnya, Matteo Berrettini menarik diri daripada kejohanan.
- Matteo Berrettini mengalami kecederaan siku; beliau kata kesakitan lengan menyebabkan tidak dapat beraksi.
- Alcaraz dijadual bertemu Arthur Fils atau Taylor Fritz bagi merebut tempat separuh akhir.
- Alcaraz masih belum pernah menjuarai Paris Masters dan kini antara pemain berprofil tinggi yang masih bertahan.
- Tommy Paul menewaskan Quentin Halys 7-6 6-4 dan bakal berdepan Ben Shelton atau Arthur Rinderknech.
Juara Grand Slam tujuh kali itu sepatutnya menentang pemain Itali berkenaan dalam pusingan 16 terakhir, namun Berrettini terpaksa menarik diri sebelum perlawanan bermula berikutan kecederaan siku.
“Kesakitan pada bahagian lengan yang saya tanggung sejak beberapa hari lalu menyebabkan saya tidak dapat beraksi di gelanggang,” kata Berrettini menerusi hantaran di media sosial.
Pemain Sepanyol itu dijadualkan bertemu sama ada Arthur Fils atau Taylor Fritz pada Jumaat bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir.
Alcaraz belum pernah menjuarai Paris Masters dan kini merupakan pemain berprofil tinggi yang masih bertahan dalam saingan berkenaan selepas pemain nombor satu dunia, Alexander Zverev tersingkir pada Rabu.
Dalam pada itu, pemain Amerika Syarikat yang juga pilihan ke-12 Tommy Paul menewaskan wakil tuan rumah Quentin Halys 7-6 (7/3), 6-4 dalam perlawanan pembukaan di gelanggang utama.
Beliau bakal bertemu pilihan ketiga Ben Shelton atau pemain Perancis Arthur Rinderknech di peringkat suku akhir.- AFP