Kad merah jejas rentak, perancangan Harimau Kumbang – Wan Rohaimi

Aksi pemain Penang FC ketika menentang DPMM FC pada perlawanan pertama Liga Super 2026/2027 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 23 Ogos – Insiden kad merah terhadap pertahanan Penang FC Muhammad Fazly Mazlan pada minit ke-43 menjejaskan rentak dan perancangan skuad Harimau Kumbang sehingga terpaksa mengubah corak permainan ketika berdepan DPMM FC dalam aksi Liga Super, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penang memulakan perlawanan dengan baik, banyak peluang tercipta tetapi gagal diterjemahkan kepada gol.
  • Wan Rohaimi mahu pemain segera melupakan kekalahan dan bangkit untuk aksi menentang Sabah pada 28 Ogos.
  • DPMM menang tipis 1-0; McAllister puji disiplin dan karakter pemain, kemenangan penting untuk keyakinan pasukan.

Ketua Jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail berkata kehilangan seorang pemain memaksa pasukannya bermain lebih berhati-hati dan banyak bertahan di kawasan tengah, sekali gus memberi ruang kepada DPMM FC untuk lebih selesa melakukan tekanan.

“Saya setuju kad merah itu menjejaskan permainan tetapi saya tidak mempertikaikan keputusan pengadil. Perkara yang saya kesalkan adalah tindakan sebelum kad merah itu, apabila hantaran ke belakang menyebabkan (Muhammad) Fazly terpaksa melakukan kekasaran kerana jika tidak, kita mungkin bolos.

“Itu ‘professional foul’, tetapi kesannya menggugat pelan permainan kami. Kami terpaksa menunggu di ‘middle block’ dan keadaan itu membuatkan DPMM FC semakin selesa untuk datang menekan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya, di sini, malam ini.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata pasukannya telah memulakan perlawanan dengan baik dan berjaya memberi tekanan kepada lawan sebelum insiden tersebut mengubah momentum permainan.

Beliau berkata beraksi dengan kekurangan seorang pemain dalam cuaca panas turut menjejaskan tumpuan dan mentaliti anak buahnya, namun pujian diberikan apabila mereka masih mampu mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan jaringan meskipun gagal diterjemahkan kepada gol.

Mengulas aksi seterusnya menentang Sabah FC di tempat lawan pada 28 Ogos ini, Wan Rohaimi mahu pemain Harimau Kumbang segera melupakan kekalahan hari ini dan bangkit daripada mengulangi permulaan kurang baik seperti musim lepas.

Aksi pertama DPMM FC dalam saingan Liga Malaysia unifi musim 2026/2027 menentang Penang FC/Foto DPMM MC

Sementara itu, Ketua Jurulatih DPMM FC Jamie McAllister menyifatkan kemenangan hari ini sebagai tiga mata penting selepas pasukannya mengharungi perlawanan sukar menentang Penang FC, selain berpuas hati dengan disiplin dan karakter pemain ketika bertahan.

“Perlawanan ini benar-benar sukar. Saya rasa kami bermula dengan baik pada 10 hingga 15 minit pertama dan mempunyai beberapa peluang yang cerah. Pulau Pinang nampaknya menguasai perlawanan selepas itu dan mencipta beberapa peluang.

“Pada separuh masa kedua, tetap sukar walaupun berdepan 10 pemain. Bagaimanapun, kami berjaya mendapatkan gol hasil kerjasama yang baik daripada semua pemain. Kami ingatkan boleh bermain dengan lebih baik, tapi permainan yang baik juga dari Pulau Pinang,” katanya.

McAllister berkata kemenangan pada aksi pembukaan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan yang membawa masuk 10 pemain baharu di samping baru menjalani persiapan bersama selama enam minggu.

Pada perlawanan petang tadi, DPMM FC menang tipis 1-0 ke atas Penang FC, sekali gus meranapkan hasrat Harimau Kumbang untuk membuka kempen Liga Super 2026/2027 dengan langkah kanan di hadapan penyokong sendiri. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.