
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Skuad wanita bawah 16 tahun (B-16) negara menewaskan Jordan 4-0 untuk meraih tempat ketiga pada Kejohanan Bolasepak Piala Merdeka Srikandi 2026 di Indonesia, hari ini.
- Gol sendiri Eman Muhannad Mahmoud Altmaizi pada minit kedua memberi kelebihan awal kepada Malaysia.
- Lim You menjaringkan gol pada minit ke-40 selepas menerima hantaran kapten Keisha Adeliena.
- Keisha jaring penalti minit ke-50 selepas dijatuhkan Ragad; Isabella Saffiya tenang menolak hantaran lintang Keisha pada minit ke-94.
Pada aksi di Arena Super Soccer Kudus, Jawa Tengah, skuad Malayan Tigress bimbingan Fairuz Montana Zainal Abidin mendahului seawal minit kedua apabila pemain Jordan, Eman Muhannad Mahmoud Altmaizi, tertampan bola ke gawang sendiri.
Skuad negara kemudian menggandakan kedudukan menerusi Lim You yang membolosi gawang Jordan pada minit ke-40 selepas menerima hantaran daripada kapten pasukan, Keisha Adeliena Muhammad Khalid.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus melebarkan jurang apabila memperoleh gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-50.
Keisha Adeliena tidak mensia-siakan peluang itu selepas beliau dijatuhkan oleh pemain Jordan, Ragad Rafat Harbi Haqrous, dalam kawasan penalti seminit sebelumnya.
Tidak cukup dengan itu, Malaysia terus menambah derita lawan apabila Isabella Saffiya O Luanaigh tenang menolak bola ke dalam gawang hasil hantaran lintang Keisha Adeliena pada minit ke-94, sekali gus memastikan kemenangan 4-0 kekal hingga wisel penamat.
Terdahulu, Malaysia terpaksa beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga selepas tewas 1-5 kepada Thailand pada aksi separuh akhir, Jumaat lalu.
Sementara itu, tuan rumah Indonesia yang menggunakan julukan Garuda Pertiwi akan menentang Thailand dalam aksi final malam ini.- BERNAMA