Kun Pan sasar slot Olimpik LA28, buru pengalaman antarabangsa

Pelumba basikal bukit (MTB) negara, Phi Kun Pan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November – Pelumba basikal bukit (MTB) negara, Phi Kun Pan, menyasarkan slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia Basikal Bukit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2027 di Perancis, Ogos tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kepada program latihan komprehensif, menggandakan intensiti dari segi fizikal, pemakanan sukan dan aspek teknikal basikal.
  • Menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa untuk menambah pengalaman dan meningkatkan persaingan di peringkat global.
  • Persembahan cemerlang di Guiyang mengukuhkan kedudukan Kun Pan dalam kelompok tiga pelumba terbaik Asia.
  • Perlu sokongan berterusan pihak berkepentingan dan penaja kerana pendapatan rendah serta tugas jurulatih sambilan menyekat fokus latihan.

Ketika ini, pelumba berusia 23 tahun kelahiran Kedah itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan bagi menghadapi saingan berprestij berkenaan, termasuk meningkatkan intensiti latihan dan menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa.

“Fokus saya kini terarah kepada program latihan yang lebih komprehensif. Untuk bersaing di luar negara, tahap persediaan perlu digandakan dari segi fizikal, pemakanan sukan, dan juga aspek teknikal seperti basikal yang lebih kompetitif.

Dari segi kalau untuk saya dari segi basikal, dari pemakanan pun boleh juga, lepas tu dari segi kewangan. Untuk saya kalau lebih baik kena banyakkan masuk perlumbaan, contoh banyak pengalaman lagi bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran kejohanan Basikal Bukit Antarabangsa Piala YDP Tanjong Malim 2026 di ibu negara, hari ini.

Kun Pan melakar pencapaian membanggakan apabila mengesahkan tiket kelayakan susulan persembahan cemerlang dalam acara merentas desa Olimpik (XCO) di Guiyang, China, baru-baru ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok tiga pelumba terbaik Asia.

Bagaimanapun, beliau kini perlu mengimbangi jadual latihan dengan tugas sebagai jurulatih sambilan yang memberikannya pendapatan keseluruhan sekitar RM1,000 sebulan, termasuk tajaan sedia ada.

Sehubungan itu, sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan dalam sukan dan penaja berpotensi amat diperlukan bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuh masa kepada latihan berprestasi tinggi.

Langkah itu penting dalam usaha Kun Pan meningkatkan daya saing di pentas antarabangsa serta merealisasikan impian mewakili negara pada Sukan Olimpik LA28.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.