Amarjit sokong Azizulhasni ke LA28

Datuk Azizulhasni Awang atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ merangkul emas dan gangsa dalamdua kategori berbeza pada kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berhasrat untuk melihat ikon berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang melebarkan kariernya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Amarjit mahu Azizulhasni pertimbangkan sambung kerjaya ke LA28; PKBM perlu beri sokongan penuh.
  • Azizulhasni belum putuskan penyertaan LA28, perlu pertimbangkan pembiayaan, struktur sokongan dan masa bersama keluarga.
  • Amarjit akui kelompok pelumba elit terhad; Azizulhasni dan Shah Firdaus kekal figura utama bagi negara.

Amarjit berkata prestasi terkini Azizulhasni pada kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di Negeri Sembilan yang berakhir semalam, membuktikan bahawa pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu masih kompetitif dan mampu memberikan saingan pada tahap tertinggi.

Azizulhasni yang digelar “Pocket Rocketman” itu mencipta sensasi apabila memenangi emas acara keirin lelaki selepas menewaskan juara dunia semasa Harrie Lavreysen dari Belanda pada perlawanan akhir Sabtu lepas, sebelum menambah pingat gangsa dalam acara pecut individu malam tadi.

“Yang saya lihat pada Sabtu lepas membuktikan bahawa (kerjaya) beliau belum berakhir lagi. Mungkin beliau tidak mahu menyatakannya secara terbuka atau lebih suka berbincang dengan keluarga terlebih dahulu, namun naluri saya mengatakan beliau masih mahu ke LA28.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya, tetapi saya percaya beliau masih mempunyai kekuatan dan keupayaan. Jika itu keadaannya, kita tidak seharusnya menafikan peluang itu dan PKBM perlu memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional malam tadi.

Amarjit mengakui bahawa kelompok pelumba elit negara masih terhad dengan banyak tumpuan diberikan kepada sekumpulan kecil pelumba, khususnya Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Kita perlu akui bahawa pelumba Olimpik masih terhad. Walaupun usaha dijalankan untuk meluaskan kelompok itu, Azizulhasni kekal sebagai figura utama, bersama-sama (Muhammad) Shah Firdaus,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni berkata keputusannya sama ada akan beraksi pada LA28 masih belum dimuktamadkan, sambil menegaskan bahawa beberapa perkara penting termasuk pembiayaan, struktur sokongan dan keutamaan untuk meluangkan masa bersama dengan keluarga perlu dipertimbangkan dengan teliti.

“Masih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk pembiayaan. Saya tidak mahu bergantung semata-mata pada Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Negara, dan perkara ini perlu dibincangkan dengan penaja.

“Sekiranya saya pergi ke LA, saya memerlukan penajaan yang kukuh kerana saya perlu memastikan saya mempunyai sistem sokongan yang baik dan pasukan yang mantap. Pada tahap kerjaya saya sekarang, pemulihan amat penting,” kata atlet berusia 38 tahun itu.

Azizulhasni meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebelum itu beliau merangkul pingat gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Juara dunia keirin 2017 itu seterusnya akan memberikan tumpuan pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland pada Julai, disusuli Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September.- BERNAMA