Acara SUKMA 2026 tidak akan dikurangkan

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

KUCHING, 27 April – Jumlah acara pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor tidak akan dikurangkan meskipun penganjurannya akan dilaksanakan secara berhemah dan lebih berfokus kepada penjimatan kos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjimatan fokus kepada penganjuran seperti majlis pembukaan, penutupan dan pengurusan keseluruhan temasya.
  • Cadangan pengurangan tidak melibatkan acara sukan; perkara akan diperincikan oleh jawatankuasa tertinggi SUKMA.
  • Perbincangan dengan Menteri Besar Selangor bersetuju kurangkan beberapa aspek penganjuran secara berperingkat.
  • Kos penganjuran SUKMA 2026 sebelum ini dianggarkan sekitar RM100 juta; jumlah akhir akan dimuktamadkan kemudian.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penjimatan yang dirancang setakat ini lebih tertumpu kepada aspek penganjuran seperti majlis pembukaan, penutupan serta pengurusan keseluruhan temasya, bukan pada acara sukan yang dipertandingkan.

“Setakat ini, acara sukan tidak termasuk dalam cadangan pengurangan. Namun, perkara ini perlu diperincikan semula dalam jawatankuasa tertinggi SUKMA.

“Bagi kami, penjimatan atau ‘scale down’ lebih sesuai dilaksanakan pada aspek penganjuran seperti majlis pembukaan dan penutupan serta pengurusan keseluruhan temasya,” katanya.

Sebelum ini, kos penganjuran SUKMA 2026 dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta.

Dr. Taufiq berkata, perbincangan turut telah diadakan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang bersetuju supaya beberapa aspek penganjuran dikurangkan secara berperingkat, namun jumlah keseluruhan kos masih akan dimuktamadkan dan diumumkan kelak.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.