Selangor teliti kos penganjuran SUKMA 2026

EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi./foto BERNAMA

SHAH ALAM, 27 April – Kerajaan Negeri Selangor meneliti kos penganjuran Sukan Malaysia 2026 (SUKMA) termasuk majlis pembukaan dan penutupan bagi memastikan pelaksanaannya berhemat tanpa pembaziran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor memperkenankan temasya diteruskan dengan pendekatan penjimatan.
  • Perincian pelarasan kos akan dibentangkan dalam sesi menghadap Rabu dan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, 30 April.
  • Cadangan mengecilkan skala majlis pembukaan dan penutupan serta memanfaatkan Litar Antarabangsa Sepang.

EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata langkah itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan temasya berkenaan diteruskan dengan pendekatan penjimatan.

Menurutnya, perincian pelarasan kos akan dibentangkan dalam sesi menghadap baginda pada Rabu ini sebelum diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, 30 April.

Beliau berkata, antara cadangan ialah mengecilkan skala majlis pembukaan dan penutupan serta memanfaatkan venue utama di Litar Antarabangsa Sepang.

“Insya-Allah Rabu ini saya bersama menteri akan menghadap Tuanku bagi mempersembahkan persiapan serta perancangan, termasuk perincian kos penganjuran SUKMA.

“Cadangan mengurangkan skala perbelanjaan merupakan antara perkara yang sedang dipertimbangkan,” katanya.

Setakat ini, tiada acara digugurkan dengan 37 jenis sukan kekal dipertandingkan, manakala kerja naik taraf kemudahan mencecah hampir 80 peratus termasuk di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Negeri Selangor, di sini.