
KUALA LUMPUR, 16 April – Misi memburu pingat bukan sesuatu yang mudah berikutan penyertaan ramai pelumba bertaraf dunia dalam saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang akan berlangsung minggu depan.
- Fadhil, Ridwan dan Akmal sasar untuk melepasi pusingan pertama sebagai sasaran utama.
- Trio itu memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Trek Asia walaupun menamatkan tempat keempat.
- Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 dijadualkan 24 hingga 26 April di Velodrom Nasional, Nilai.
Pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang akan beraksi dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohamad Akmal Nazimi Jusena, bagaimanapun meletakkan fokus untuk melepasi pusingan pertama sebagai sasaran utama.
“Kita tahu untuk pasukan yang baru setahun dua bergabung, sasaran pingat itu mungkin masih jauh sedikit. Kami akan cuba untuk ke pusingan pertama dahulu, itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pembukaan stor jenama sukan dari Amerika Syarikat, Brooks Running, baru-baru ini.
Dalam pada itu, skuad pecut trek lelaki negara turut memasang impian untuk terus memperbaharui rekod kebangsaan.
Keyakinan itu hadir selepas trio berkenaan memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) bulan lalu, meskipun menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Dalam masa sama, Muhammad Fadhil tetap optimis mampu memberikan cabaran sengit meskipun berdepan nama besar dunia dalam kejohanan berprestij tersebut.
Antara pelumba yang dijangka mencuri tumpuan termasuk juara Olimpik dari Belanda, Harrie Lavreysen, selain Nicholas Paul (Trinidad dan Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Daniel Staniszewski (Poland).
Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 akan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
