Peluang lebih ramai pemain tempatan sarung jersi Harimau Malaya – Indra Putra

Bekas pemain bola sepak negara, Indera Putra Mahayuddin / BERNAMA

KAMPAR, 28 Mac – Hukuman yang dikenakan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan bukan pengakhiran kepada bola sepak tanah air, kata bekas tonggak Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluang kepada pemain tempatan bersinar di pentas antarabangsa dan membuktikan Malaysia tidak kekurangan bakat.
  • Setiap pemain perlu melihat situasi ini sebagai peluang untuk meningkat dan berbakti kepada skuad kebangsaan.
  • Kehadiran pemain warisan dan naturalisasi harus dijadikan pemangkin untuk meningkatkan prestasi demi rebut tempat utama.
  • CAS kekalkan penggantungan 12 bulan hanya untuk perlawanan rasmi dan denda CHF350,000 ke atas FAM; FIFA batalkan tiga persahabatan.

Menurut beliau, apa yang berlaku sebaliknya membuka peluang kepada pemain tempatan untuk menyinar di pentas antarabangsa sekali gus membuktikan kepada peminat bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat.

“Setiap pemain perlu melihat perkara ini sebagai peluang untuk mereka meningkat naik dan seterusnya berbakti kepada skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak Bintang Juara FC (BJFC) di sini malam tadi.

Indra Putra berkata, kehadiran pemain warisan dan naturalisasi juga seharusnya dijadikan sebagai pemangkin untuk mereka meningkatkan prestasi bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Kes membabitkan tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel mendapat perhatian ramai selepas ia dibawa ke CAS susulan tindakan disiplin yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci bulan ini, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan tetapi kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga dikekalkan.

FIFA kemudian turut membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan lawan.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.