Liverpool pecat Slot

Arne Slot dipecat Liverpool susulan kegagalan mempertahankan kejuaraan EPL musim ini / REUTERS

LIVERPOOL, 30 Mei – Liverpool hari ini secara rasmi memecat pengurusnya Arne Slot, susulan kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

RINGKASAN BERITA AI
  • FSG kata perubahan hala tuju diperlukan untuk memajukan kelab selepas kekurangan keyakinan terhadap pendekatan taktikal Slot.
  • Prestasi merosot: hanya 60 mata, rekod terendah sejak 2015/16, 25 mata di belakang juara Arsenal.
  • Pelaburan perpindahan gagal dimanfaatkan; Alexander Isak bergelut kecergasan dan Florian Wirtz sukar menyesuaikan diri.
  • Bilik persalinan bergolak, kritikan terbuka Mohamed Salah sebelum pemergiannya; Andoni Iraola disebut calon utama pengganti.

Pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan drastik itu diambil demi membawa “perubahan arah” kepada pasukan selepas peminat mula hilang sabar dengan taktikal hambar pengendali dari Belanda itu.

“Kami secara kolektif telah mencapai kesimpulan bahawa perubahan adalah perlu demi membolehkan kelab terus melangkah ke hadapan.

“Kesimpulan yang kami capai ini dibina atas kepercayaan bahawa trajektori pasukan adalah paling baik ditangani melalui perubahan hala tuju,” kata kelab itu dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Pemecatan Slot, 47, disifatkan sebagai sesuatu yang mengejutkan selepas beliau dijulang sebagai wira musim lepas kerana berjaya mengemudi The Reds merangkul kejuaraan liga utama England yang ke-20 dalam musim pertamanya sebagai pengurus menggantikan Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, prestasi Liverpool merosot mendadak musim ini apabila sekadar mengutip 60 mata iaitu rekod terendah kelab itu sejak musim 2015/16 serta menamatkan saingan dengan 25 mata di belakang juara baharu, Arsenal.

Slot juga didakwa gagal memanfaatkan pelaburan besar kelab pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas pemain r Alexander Isak bergelut dengan masalah kecergasan.

Manakala bintang bernilai £100 juta, Florian Wirtz sukar menyesuaikan diri dengan corak permainan EPL.

Selain aksi hambar di atas padang, bilik persalinan Liverpool turut berdepan pergolakan, terutamanya kritikan terbuka daripada Mohamed Salah sebelum penyerang itu meninggalkan kelab, yang secara tidak langsung menggambarkan ketidakpuasan hati pemain terhadap pendekatan taktikal Slot yang terlalu berhati-hati.

Dalam pada itu, FSG tetap menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Slot dan menegaskan bahawa pintu Anfield akan sentiasa terbuka buat beliau dan keluarganya.

Mengenai pengganti, kelab Merseyside itu mengesahkan proses pelantikan pengurus baharu sedang berjalan dengan pengendali Bournemouth, Andoni Iraola kini disebut-sebut sebagai calon pilihan utama untuk mengisi kekosongan tersebut. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.