Jun Hao buka kempen Terbuka Malaysia dengan kemenangan

Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao melayan para peminat selepas menentang pemain China, Wang Zheng Xing pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Axiata Arena hari ini.
Jun Hao menewaskan Wang Zheng Xing 21-17, 21-17. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil China, Wang Zheng, 21-17, 21-17 pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Leong Jun Hao mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 selepas mengalahkan wakil China Wang Zheng 21-17, 21-17.
  • Perlawanan berdurasi 48 minit dianggap mencabar, khususnya ketika Jun Hao ketinggalan pada set kedua sebelum bangkit.
  • Jun Hao berkata kemenangan ini menyeronokkan dan meningkatkan keyakinannya selepas penghujung musim lalu yang tidak konsisten.
  • Beliau bersedia tingkatkan fokus dan prestasi jika berdepan Jonatan Christie atau Lee Chia Hao pada pusingan kedua.
  • Terakhir juara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia ialah Datuk Lee Chong Wei pada 2018, menambah motivasi untuk Jun Hao.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata perlawanan berdurasi 48 minit berkenaan bukan mudah, terutama apabila dia ketinggalan pada set kedua sebelum bangkit mengejar mata untuk mengesahkan kemenangan.

“Saya rasa perlawanan tadi agak mencabar, terutamanya pada set kedua apabila ketinggalan sebelum berjaya mengejar semula mata dan menang. Ia satu perlawanan yang menyeronokkan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengulas cabaran seterusnya, Jun Hao berkata beliau bersedia meningkatkan fokus dan tahap permainan sekiranya berdepan sama ada wakil Indonesia, Jonatan Christie, atau pemain Taiwan, Lee Chia Hao, pada pusingan kedua esok.

Beliau turut mengakui kemenangan pembukaan itu meningkatkan keyakinannya selepas mengharungi penghujung musim lalu yang kurang konsisten, selain berharap dapat mengekalkan momentum positif dalam perlawanan berikutnya.

“Penghujung musim lalu agak sukar buat saya, jadi kemenangan hari ini memberi keyakinan untuk memulakan musim baharu dengan lebih positif dan konsisten,” katanya.

Kali terakhir perseorangan lelaki negara menjuarai Terbuka Malaysia adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2018.