
TEHRAN, 7 Mei – Iran menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memastikan negara tuan rumah Piala Dunia mengeluarkan visa tanpa dipengaruhi pertimbangan politik kepada semua pasukan yang bertanding.
- Iran menggesa FIFA menjamin tuan rumah mengeluarkan visa tanpa pengaruh politik untuk memudahkan urusan pasukan.
- Kebimbangan timbul selepas delegasi FFIRI ditahan dan diarahkan berpatah balik di sempadan Kanada berikutan pembatalan visa Presiden FFIRI.
- Mehdi Taj menuntut jaminan rasmi daripada FIFA mengenai layanan di Amerika Syarikat, kegagalan boleh menjejaskan penyertaan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, FIFA bertanggungjawab menjamin kelancaran urusan penyertaan pasukan, termasuk akses visa, selaras dengan peraturan badan induk bola sepak dunia itu.
Menurutnya, pasukan kebangsaan Iran akan menyertai kejohanan Piala Dunia 2026 dan semua urusan perjalanan perlu dipermudah tanpa sebarang halangan politik.
Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan yang disuarakan pegawai bola sepak Iran selepas delegasi Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI) dilaporkan ditahan dan diarahkan berpatah balik di sempadan Kanada minggu lalu.
Insiden itu berlaku selepas visa Presiden FFIRI, Mehdi Taj, dibatalkan susulan dakwaan kaitannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Mehdi Taj turut memaklumkan, Iran akan mendapatkan jaminan rasmi daripada FIFA berhubung layanan terhadap pasukan itu di Amerika Syarikat, yang menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama Kanada dan Mexico.
Beliau turut memberi amaran, kegagalan menyediakan jaminan sewajarnya boleh menjejaskan penyertaan pasukan Iran dalam kejohanan berkenaan. – Reuters