Hanya atlet wanita ‘tulen’ layak bertanding pada Sukan Olimpik

Gambar fail./REUTERS

LAUSANNE, 26 Mac – Hanya atlet berstatus wanita secara biologi yang disahkan menerusi ujian saringan genetik sahaja layak menyertai acara kategori wanita pada Sukan Olimpik.

RINGKASAN BERITA AI
  • IOC umum dasar baharu untuk melindungi atlet wanita selepas bertahun-tahun peraturan tidak seragam dan kontroversi.
  • Organisasi akan menerajui usaha mewujudkan pendekatan seragam bagi penyertaan atlet transgender, menggantikan arahan 2021.
  • Presiden Kirsty Coventry tekankan keadilan dan keselamatan; peraturan tidak retrospektif dan tidak menjejaskan sukan akar umbi.

Dasar baharu itu diumumkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi melindungi atlet wanita selepas bertahun-tahun berdepan peraturan tidak seragam yang mencetuskan beberapa kontroversi besar.

IOC memaklumkan bahawa semua atlet yang ingin melayakkan diri atau menyertai acara kategori wanita pada temasya itu perlu menjalani ujian genetik SRY bagi menentukan kelayakan mereka.

“Berdasarkan bukti saintifik, IOC berpendapat kehadiran genetik SRY adalah kekal sepanjang hayat dan merupakan bukti yang sangat tepat,” menurut kenyataan badan itu.

Sebelum ini, IOC tidak menetapkan sebarang peraturan berkaitan penyertaan atlet transgender dalam Olimpik, sebaliknya pada 2021 mengarahkan persekutuan antarabangsa menggubal garis panduan masing-masing.

Presiden baharu IOC, Kirsty Coventry, bagaimanapun mengubah pendekatan itu dengan menyatakan organisasinya akan menerajui usaha mewujudkan pendekatan seragam.

“Dalam Sukan Olimpik, perbezaan yang sangat kecil boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.

“Justeru, adalah jelas bahawa tidak adil bagi lelaki biologi bersaing dalam kategori wanita. Selain itu, dalam sesetengah sukan, ia juga tidak selamat,” katanya.

Peraturan baharu itu tidak berkuat kuasa secara retrospektif dan tidak menjejaskan sukan peringkat akar umbi atau amatur.

Sebelum ini, atlet transgender dibenarkan menyertai Olimpik selepas mendapat kelulusan daripada persekutuan masing-masing.

Hanya segelintir atlet transgender secara terbuka pernah menyertai temasya itu.

Atlet angkat berat New Zealand, Laurel Hubbard, menjadi atlet transgender pertama bertanding dalam kategori jantina berbeza daripada jantina kelahiran ketika beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2021. – REUTERS