Guardiola fokus dua aksi terakhir liga selepas City juara Piala FA

 Pemain dan kakitangan Manchester City meraikan trofi selepas perlawanan akhir Piala FA Inggeris antara Chelsea dan Manchester City di stadium Wembley di London/Foto AFP

LONDON,17 Mei – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berharap kejayaan menjuarai Piala FA mampu menjadi pemangkin buat pasukannya dalam usaha terakhir memburu gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • City menewaskan Chelsea 1-0 di Wembley melalui gol Antoine Semenyo, memenangi Piala FA pertama kelab sejak 2023.
  • Fokus kini pada dua perlawanan liga; City ketinggalan dua mata dan perlu menang ke atas Bournemouth dan Aston Villa jika Arsenal tergelincir.
  • Guardiola hentikan sambutan untuk segera pulihkan pemain, hanya beri tiga hari rehat selepas perjalanan memenatkan ke Wembley.

City menewaskan Chelsea 1-0 pada aksi akhir di Wembley hasil jaringan Antoine Semenyo pada separuh masa kedua, sekali gus menghadiahkan trofi Piala FA pertama buat kelab itu sejak 2023.

Kemenangan tersebut melengkapkan kejayaan berganda domestik City musim ini selepas turut menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Arsenal pada Mac lalu.

Kini, fokus City terarah kepada baki dua perlawanan liga ketika mereka terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perebutan gelaran EPL.

Arsenal kekal sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara dan hanya memerlukan kemenangan ke atas Burnley pada Isnin serta Crystal Palace pada 24 Mei untuk mengesahkan kejuaraan.

Bagaimanapun, City yang berada di tangga kedua dengan jurang dua mata masih menaruh harapan sekiranya skuad kendalian Mikel Arteta tercicir mata.

Jika City berjaya menewaskan Bournemouth dan Aston Villa dalam dua aksi terakhir, mereka berpeluang merampas takhta liga andai Arsenal gagal mengutip mata maksimum.

Dalam pada itu, Guardiola segera menghentikan sambutan kemenangan di Wembley demi memastikan pemain kekal fokus menghadapi baki saingan musim ini.

“Tiada sambutan besar, tiada minum bir. Kami tidak mempunyai banyak masa kerana perlu segera membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya.

“Chelsea mempunyai tujuh hari untuk bersedia bagi final, tetapi kami hanya ada tiga hari. Perjalanan kami juga memenatkan apabila mengambil masa enam jam dari Manchester ke Wembley,” katanya.

Setelah membimbing City memenangi gelaran sebanyak enam kali dalam tempoh lapan tahun, Guardiola tahu ia memerlukan pemulihan yang luar biasa untuk merampas trofi itu daripada genggaman Arsenal.

Namun beliau percaya City kini berada di landasan lebih baik berbanding musim lalu ketika menamatkan kempen tanpa trofi.

Menurutnya, kehadiran pemain seperti Antoine Semenyo dan Marc Guehi pada jendela perpindahan Januari, selain perkembangan pemain muda termasuk Matheus Nunes, Abdukodir Khusanov dan Nico O’Reilly, memberi petanda positif untuk masa depan kelab itu.

“Kami kini mempunyai lebih kestabilan dalam pasukan. Memang terdapat ramai pemain baharu dan beberapa kecederaan, tetapi saya percaya masa depan City sangat cerah,” katanya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.