
MANCHESTER, 17 April – Ketua pasukan Manchester City, Bernardo Silva, mengesahkan bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun menabur bakti bersama kelab berkenaan.
- Memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu kejuaraan Liga Juara Eropah; warisan kejayaan beliau di Manchester City jelas.
- Dalam hantaran media sosial, beliau berkata akan menjadi penyokong setia Manchester City sepanjang hayat dan menghargai semua yang dicapai.
- Kelab menyifatkan Silva sebagai antara pemain terbaik dan paling popular dalam sejarah Manchester City.
- Beliau menyertai City dari AS Monaco pada 2017 dengan yuran sekitar 43.5 juta pound dan 450 penampilan.
Pemain antarabangsa Portugal berusia 31 tahun itu, yang telah memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu kejuaraan Liga Juara Eropah, akan bergelar ejen bebas apabila kontraknya tamat selepas kempen musim ini berakhir.
Menerusi hantaran di media sosial pada Khamis, Silva menyatakan bahawa beliau akan pergi sebagai seorang penyokong setia Manchester City sepanjang hayat.
“Apabila saya tiba sembilan tahun lalu, saya mengejar impian seorang budak kecil yang mahu berjaya dalam hidup dan mencapai perkara besar.
“Bandar dan kelab ini memberikan saya lebih daripada itu.
“Apa yang kita menang dan capai bersama adalah warisan yang akan sentiasa terpahat di hati saya. ‘The Centurions’, kejuaraan domestik empat kali, ‘Treble’, empat gelaran berturut-turut dan banyak lagi.Ia tidaklah terlalu buruk,” katanya.
Dalam pada itu, Manchester City dalam satu kenyataan rasmi di laman sesawang kelab mengesahkan pemergian tersebut dan menyifatkan Silva sebagai antara pemain terbaik serta paling popular dalam sejarah kelab.
Silva menyertai City dari AS Monaco pada 2017 dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar 43.5 juta pound dan telah melakukan 450 penampilan setakat ini.
Dikenali dengan kepelbagaian taktikal, teknik luar biasa dan kerajinan di atas padang, pemain tengah itu merupakan tonggak utama skuad kendalian Pep Guardiola sepanjang tempoh keemasannya. -REUTERS