
MEXICO CITY, 17 April — Musim 2026 LIV Golf akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan sokongan penuh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, sekali gus menafikan laporan bahawa siri jelajah itu kini di ambang kehancuran.
- Pembiayaan PIF akan diteruskan bagi sembilan baki kejohanan daripada 14 acara yang dirancang.
- CEO Scott O'Neil menegaskan musim berjalan mengikut perancangan tanpa gangguan dan organisasi kini lebih besar serta berpengaruh.
- LIV terus mencatat kejayaan komersial dan rekod kehadiran walaupun kehilangan beberapa pemain serta berdepan kritikan hak asasi manusia.
Sumber yang mempunyai maklumat mengenai pelaburan PIF dan operasi LIV memberitahu Reuters pada Rabu bahawa pembiayaan akan diteruskan bagi sembilan baki kejohanan daripada keseluruhan 14 jadual acara yang telah dirancang.
Laporan tersebut muncul susulan dakwaan beberapa media antarabangsa sebelum ini yang menyatakan eksekutif LIV Golf telah dipanggil ke satu “mesyuarat tergempar” di New York berikutan khabar angin PIF bakal menghentikan sokongan kewangan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif LIV Golf, Scott O’Neil, dalam satu e-mel kepada para pemain menegaskan bahawa musim ini akan berjalan mengikut perancangan tanpa sebarang gangguan.
“Realiti kami ditentukan oleh kerja keras yang kami lakukan. Kami sedang menuju ke pertengahan jadual 2026 dengan tenaga penuh daripada organisasi yang kini lebih besar dan berpengaruh berbanding sebelum ini,” katanya.
O’Neil turut berada di Mexico bagi menyaksikan acara proam di Club de Golf Chapultepec, yang menjadi lokasi kejohanan keenam LIV musim ini bermula Khamis.
Sementara itu, bekas juara Masters, Sergio Garcia, yang menyertai kejohanan tersebut pada 2022, memaklumkan beliau tidak mendengar sebarang berita negatif mengenai sokongan kewangan daripada Pengerusi LIV Golf, Yasir Al-Rumayyan.
“Yasir memberitahu kami pada awal tahun ini bahawa beliau menyokong kami dan mereka mempunyai projek jangka panjang. Anda tahu bagaimana khabar angin ini sering tersebar,” ujar Garcia.
LIV Golf yang dilancarkan pada 2022, berjaya menarik bintang besar dunia termasuk Bryson DeChambeau dan Jon Rahm menerusi kontrak bernilai tinggi, meskipun berdepan kritikan pelbagai pihak berhubung rekod hak asasi manusia Arab Saudi.
Meskipun kehilangan beberapa nama besar seperti Brooks Koepka dan Patrick Reed baru-baru ini, LIV tetap mencatatkan kejayaan komersial termasuk rekod kehadiran penonton tertinggi di Australia dan Afrika Selatan awal tahun ini.
Kemelut antara LIV Golf dan PGA Tour sebelum ini turut mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang pernah terlibat dalam perbincangan di Whie House pada Februari 2025 bagi menyelesaikan konflik dalam sukan golf dunia itu. – REUTERS