Liga Europa: Aston Villa, Nottingham Forest lolos ke separuh akhir

Para pemain Aston Villa meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Europa /AFP

LONDON, 17 April – Aston Villa dan Nottingham Forest mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Liga Europa selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aston Villa membelasah Bologna 4-0 di Villa Park, mara dengan agregat selesa 7-1.
  • Ollie Watkins menjaringkan gol minit ke-16, gol ke-100 beliau untuk Villa; juga memintas Peter Withe dan John McGinn di pentas Eropah.
  • Nottingham Forest menewaskan Porto 1-0 (agregat 2-1), menamatkan penantian 42 tahun; Gibbs-White gol minit ke-12, didedikasikan kepada Elliot Anderson.
  • Freiburg mara separuh akhir buat kali pertama selepas menewaskan Celta Vigo agregat 6-1; akan bertemu Sporting Braga.

Kemaraan itu sekali gus menyaksikan pertembungan sesama sendiri di separuh akhir.

Aston Villa kendalian Unai Emery mempamerkan dominasi di Villa Park dengan membelasah kelab Itali, Bologna 4-0, untuk mara dengan agregat selesa 7-1.

Penyerang berbisa, Ollie Watkins, memulakan pesta gol pada minit ke-16, yang juga merupakan gol ke-100 beliau buat kelab berkenaan.

Kejayaan itu sekali gus memintas Peter Withe dan John McGinn sebagai penjaring terbanyak Villa di pentas Eropah.

Gol-gol lain Villa disumbangkan oleh Emiliano Buendia (minit ke-26), Morgan Rogers (minit ke-39) dan Ezri Konsa pada minit ke-89.

Sementara itu, di City Ground, Nottingham Forest menamatkan penantian 42 tahun untuk mara ke separuh akhir kejohanan Eropah selepas menewaskan kelab Portugal, Porto 1-0.

Kemenangan itu memadai buat skuad bimbingan Vitor Pereira mencatatkan kemenangan agregat 2-1.

Pada perlawanan berkenaan, Porto terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit kelapan selepas Jan Bednarek dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap Chris Wood.

Morgan Gibbs-White muncul wira Forest dengan gol tunggal perlawanan pada minit ke-12, yang didedikasikan khas buat rakan sepasukan, Elliot Anderson, yang sedang berduka atas pemergian ibunya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, kelab Jerman, Freiburg, turut mengesahkan tempat ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah kelab selepas menewaskan Celta Vigo dengan agregat 6-1.
Freiburg dijadualkan bertemu wakil Portugal, Sporting Braga, yang mara selepas menyingkirkan Real Betis dengan kemenangan agregat 5-3. – AFP