Ed Sheeran mohon maaf, sifatkan keadaan Gaza ‘tidak boleh diterima’

Penyanyi Britain, Ed Sheeran/Foto REUTERS

PHILADELPHIA, 21 September — Penyanyi Britain, Ed Sheeran menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “malapetaka dan tidak boleh diterima” ketika mengadakan konsert di Philadelphia, Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sheeran memohon maaf, mengakui membuat kesilapan dan menggelarkan minggu itu sebagai minggu paling sukar dalam hidupnya.
  • Kontroversi tercetus bila Macklemore digugurkan selepas beri sokongan kepada Palestin; Sheeran nafikan penglibatan, salahkan penganjur, artis lain menarik diri.
  • Himpunan pro-Palestin aman di luar stadium, panggilan boikot oleh PACBI, namun konsert tetap hampir penuh.

Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi membabitkan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Macklemore, yang digugurkan sebagai artis pembuka tirai jelajah Sheeran selepas menyatakan sokongan kepada Palestin.

“Apa yang berlaku di Gaza adalah malapetaka, tidak boleh diterima dan tidak seimbang. Hati kami hancur melihat kemusnahan serta kehilangan nyawa orang awam dan kanak-kanak,” kata Sheeran.

Beliau turut berkata ketidakadilan sistemik yang berlaku di Tebing Barat tidak boleh dipandang ringan.

Macklemore sebelum ini melaungkan “Free Palestine” ketika mengadakan persembahan di New Jersey, mencetuskan kritikan daripada pemilik stadium di AS yang menjadi lokasi jelajah Sheeran.

Sheeran menafikan beliau terlibat dalam keputusan menggugurkan Macklemore dan menyalahkan penganjur jelajah.

Empat artis pembuka tirai lain kemudian menarik diri daripada jelajah itu sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

“Saya terpaksa membuat beberapa keputusan sukar dan saya melakukan kesilapan. Saya benar-benar minta maaf,” katanya kepada penonton.

Sheeran menyifatkan minggu berkenaan adalah minggu yang paling sukar dalam hidupnya dan mengakui bimbang penonton akan bertindak diluar jangkaan terhadapnya.

Pro-Palestin berhimpun sambil melaungkan ‘Free, free Palestin’ di luar konsert Ed Sheeran/Foto REUTERS

Beberapa dozen penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan himpunan secara aman di luar Lincoln Financial Field sebelum konsert bermula, sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan “Free, free Palestine”.

Konsert Sheeran tetap berlangsung hampir dengan kapasiti penuh walaupun berlaku peningkatan penjualan semula tiket dan penurunan harga tiket.

Sheeran memulakan persembahan tanpa artis pembuka tirai sebelum membawa masuk lima pemuzik yang katanya mempelajari lagu-lagunya dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, Palestin Campaign for the Academic and Cultural Boycott of Israel (PACBI) menggesa artis, peminat dan kru memboikot jelajah dunia Sheeran.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,800 rakyat Palestin terbunuh sejak genosid bermula pada Oktober 2023.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.