
JEDDAH, 17 April — Kelab Jepun, Vissel Kobe, mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Liga Juara Asia (ACL) Elite selepas menyingkirkan wakil Qatar, Al Sadd, menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di sini, semalam.
- Jean Patric muncul wira menyempurnakan penalti kemenangan selepas Claudinho gagal menyempurnakan sepakan.
- Vissel Kobe bangkit daripada ketinggalan 3-1; Yusuke Ideguchi dan Yoshinori Muto menyamakan kedudukan lewat perlawanan.
- Daiya Maekawa melakukan tiga penyelamatan kritikal pada masa tambahan; jurulatih Michael Skibbe puji semangat juang pemain.
Aksi di Stadium King Abdullah itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 sehingga tamat masa tambahan.
Pemain gantian, Jean Patric, muncul wira apabila menyempurnakan penalti kemenangan buat Kobe selepas pemain Al Sadd, Claudinho, gagal menyempurnakan sepakan.
Ketua Jurulatih Kobe, Michael Skibbe, menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti semangat juang tinggi pemainnya yang enggan mengaku kalah sehingga wisel penamat.
“Ia adalah mentaliti pasukan Jepun untuk tidak pernah berputus asa. Kami cuba menjaringkan gol sehingga saat akhir dan kami berjaya melakukannya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Al Sadd mendahului seawal minit keenam menerusi Rafa Mujica, hasil hantaran Akram Afif yang bermula daripada gerakan Roberto Firmino.
Vissel Kobe bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi tandukan Yuya Osako sebelum Al Sadd kembali mengukuhkan kedudukan pada separuh masa kedua dengan dua gol pantas daripada Mujica (minit ke-61) dan Firmino (minit ke-65).
Tersentak dengan kedudukan 3-1, skuad kendalian Skibbe bangkit merapatkan jurang menerusi Yusuke Ideguchi pada minit ke-74, sebelum Yoshinori Muto mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan gol penyamaan pada saat-saat akhir perlawanan.
Ketangkasan penjaga gol Kobe, Daiya Maekawa, yang melakukan tiga aksi penyelamatan kritikal pada masa tambahan memastikan kedudukan kekal sehingga penentuan penalti dilakukan.
Kemenangan itu menyaksikan Vissel Kobe mara ke kelompok empat terbaik buat kali kedua dalam sejarah kelab dan bakal bertemu sama ada juara bertahan, Al Ahli atau wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT). – REUTERS