
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) disasar sebagai peneraju utama dalam pembangunan industri perikanan laut selaras usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.
- Cadangan projek dan program NEKMAT sedang diperhalusi bersama beberapa kementerian untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
- Cadangan projek dan program NEKMAT akan dibawa kepada Kementerian Kewangan sebagai keutamaan semasa perbincangan Belanjawan 2027.
- NEKMAT merekod keuntungan melebihi RM25 juta pada 2025, meningkat berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan kecekapan pengurusan.
- NEKMAT meneroka projek baharu: pembangunan hartanah, stesen minyak, barge pengangkut diesel, kemudahan logistik dan projek perumahan bersama Prosper Sunshine.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan tersebut ketika ini diperhalusi bersama dengan beberapa kementerian lain bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Cadangan projek dan program pembangunan persatuan nelayan yang dikemukakan NEKMAT turut akan dibawa kepada Kementerian Kewangan sebagai antara keutamaan kementerian semasa perbincangan Belanjawan 2027,” katanya.
Tambah beliau, NEKMAT terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan keuntungan melebihi RM25 juta pada 2025, meningkat berbanding RM11 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya lagi, peningkatan keuntungan itu membuktikan kecekapan pengurusan NEKMAT selain membolehkan dana kebajikan dan pendidikan nelayan terus diperkukuhkan.
“NEKMAT kini giat meneroka pelbagai projek baharu termasuk pembangunan hartanah, stesen minyak, pembinaan barge pengangkut diesel, kemudahan logistik serta projek perumahan untuk warga nelayan menerusi kerjasama strategik dengan Prosper Sunshine Sdn. Bhd,” jelas beliau.
Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Kali Ke-41 di sini.