
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah penubuhannya apabila merekodkan keuntungan bersih hampir RM25 juta bagi tahun kewangan 2025.
- Prestasi kukuh dalam pembekalan diesel, pemasaran hasil perikanan, pengeluaran ais, akuakultur, logistik, perumahan dan pelaburan strategik
- Kenaikan dividen kepada Persatuan Nelayan Negeri sebanyak 15 peratus dan peningkatan had pinjaman kepada PNK dan PNN
- Komitmen berterusan terhadap kebajikan nelayan melalui bantuan pendidikan, biasiswa, perlindungan sosial dan kemudahan penginapan
Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari berkata ia hasil prestasi kukuh pelbagai sektor perniagaan yang diterajui NEKMAT.
Katanya pencapaian tersebut sekali gus meningkatkan dividen kepada Persatuan Nelayan Negeri (PNN) sebanyak 15 peratus, menaikkan kemudahan pinjaman kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) daripada RM50,000 kepada RM100,000, serta pinjaman kepada Persatuan Nelayan Negeri turut ditingkatkan kepada RM200,000.
“Peningkatan pendapatan ini didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam perniagaan pembekalan diesel, pemasaran hasil perikanan, pengeluaran ais, projek akuakultur, logistik, perumahan serta beberapa pelaburan strategik yang terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Kali Ke-41 di sini.
Tambah beliau, NEKMAT akan terus memperkukuh agenda kebajikan nelayan melalui penyediaan bantuan pendidikan, biasiswa, perlindungan sosial serta kemudahan penginapan kepada nelayan dan keluarga yang mendapatkan rawatan atau menguruskan urusan pendidikan di ibu negara.