
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Harimau Malaya tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Laos apabila tumpuan kini beralih kepada misi lebih besar menentang juara tujuh kali, Thailand dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026, Sabtu ini.
- Cheng Hoe berpuas hati dengan keputusan, tetapi ingat banyak perkara perlu diperbaiki dan hanya dua hari untuk persiapan menentang Thailand.
- Paulo Josue menjaringkan gol pembukaan sebelum separuh masa dan tiga gol susulan memastikan kemenangan meyakinkan.
- G. Pavithran dinobat pemain terbaik, memuji kepercayaan jurulatih dan pemain senior serta mencipta dua bantuan gol.
- Malaysia kini mengungguli Kumpulan B dengan enam mata dan akan menentukan kedudukan awal bertemu Thailand di Stadium Rajamangala.
Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe berkata kemenangan kedua berturut-turut itu penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan, namun mengingatkan masih banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki sebelum turun berdepan lawan paling mencabar dalam kumpulan.
“Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami berjaya mengekalkan momentum dan semakin memahami corak permainan sebagai satu pasukan. Tiga mata ini memberi motivasi kepada kami menjelang perlawanan menentang Thailand.
“Namun, kami masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki dan hanya mempunyai dua hari untuk membuat persiapan sebelum aksi seterusnya berdepan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan kedua kempen piala ASEAN 2026 yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Menurut Cheng Hoe, Laos memberi tentangan sengit pada babak pertama apabila bertahan dengan baik sehingga menyukarkan Malaysia mencari gol pembukaan.
Bagaimanapun, jaringan kapten Paulo Josue sebelum tamat separuh masa pertama berjaya mengubah rentak permainan Harimau Malaya yang kemudian menambah tiga lagi gol selepas rehat untuk mengesahkan kemenangan 4-0.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, G. Pavithran, menyifatkan kepercayaan yang diberikan jurulatih serta sokongan pemain senior menjadi faktor utama beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan mencipta dua bantuan gol.
“Apa yang membuatkan saya semakin yakin ialah sokongan daripada rakan sepasukan, terutama pemain-pemain berpengalaman. Mereka sentiasa memberi semangat kepada saya.
“Selepas separuh masa pertama, jurulatih dan rakan-rakan terus memberikan keyakinan, dan itu membantu saya meningkatkan tahap keyakinan serta memberikan aksi yang lebih baik pada babak kedua,” jelasnya.
Malaysia kini mengungguli Kumpulan B dengan enam mata maksimum daripada dua perlawanan dan bakal membuat penentuan awal apabila bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok.