Alcaraz tewaskan Sinner dalam perlawanan pameran di Korea Selatan

Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz (kanan) dan pemain Itali, Jannik Sinner bergambar bersama trofi masing-masing selepas perlawanan pameran tenis di Inspire Arena, Incheon/ AFP

INCHEON, 10 Januari – Carlos Alcaraz menewaskan seteru utamanya, Jannik Sinner dalam perlawanan pameran tenis yang berlangsung di Korea Selatan sebagai persiapan menjelang Terbuka Australia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alcaraz menewaskan Sinner 7-5, 7-6 dalam perlawanan pameran di Incheon sebagai persiapan Terbuka Australia.
  • Perlawanan santai disaksikan kira-kira 12,000 penonton dan berlangsung selama satu jam 47 minit.
  • Kedua-dua pemain dominan, berkongsi empat gelaran Grand Slam 2024–2025; Alcaraz memimpin pertemuan 10-6.

Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu mencatat kemenangan 7-5, 7-6 (8/6) ke atas Sinner dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 12,000 penonton dan berlangsung selama satu jam 47 minit.

Kedua-dua pemain membuat penampilan pertama mereka tahun ini, lapan hari sebelum bermulanya Grand Slam di Melbourne.

Sinner, pemain nombor dua dunia dari Itali merupakan juara bertahan dua kali Terbuka Australia.

Perlawanan pameran itu berlangsung dalam suasana santai dengan kedua-dua pemain menghiburkan penonton menerusi pukulan kreatif dan aksi bersahaja, sekali gus mencuri tumpuan peminat tempatan.

Alcaraz berharap musim baharu ini akan turut cemerlang seperti musim lalu, sambil memuji Sinner sebagai pesaing yang layak menerima kejayaan.

Sinner pula menyifatkan perlawanan itu sengit walaupun berstatus pameran dan meluahkan kegembiraan dapat beraksi buat pertama kali di Korea Selatan.

Alcaraz dan Sinner mendominasi tenis lelaki sejak dua tahun kebelakangan ini dengan kedua-duanya berkongsi semua empat gelaran Grand Slam pada musim 2024 dan 2025.

Alcaraz kini memiliki kelebihan rekod pertemuan 10-6 ke atas Sinner. Kedua-duanya dijangka menjadi pilihan utama apabila Terbuka Australia bermula pada 18 Januari ini dengan Alcaraz masih memburu gelaran Grand Slam yang belum pernah dimenanginya. -AFP