
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Imigresen FC (IFC) berjaya meraih kemenangan keempat musim ini apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 3-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, petang tadi.
- IFC menguasai permainan sejak awal dengan tekanan berterusan ke atas pertahanan Kelantan TRW.
- Wilmar Jordan Gil membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi tandukan dari sepakan penjuru.
- Eduardo Sosa menggandakan kelebihan IFC pada minit ke-70 hasil hantaran Elvis Kamsoba.
- Gol sendiri M. Rakesh pada minit ke-73 menambah jurang kepada 3-0 untuk IFC.
IFC jelas mendominasi permainan sejak wisel sepak mula dengan tekanan berterusan ke atas kubu pertahanan lawan memaksa Kelantan TRW bertahan hampir sepanjang separuh masa pertama.
Tekanan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila penyerang import berusia 35 tahun dari Colombia, Wilmar Jordan Gil menanduk masuk sepakan penjuru Rafael Iserhard Holstein untuk memecah kebuntuan dan menghadiahkan kelebihan awal kepada IFC.
Kelantan TRW cuba meningkatkan tempo permainan selepas ketinggalan namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal mencabar gawang IFC dengan kedudukan 1-0 kekal hingga rehat.
Memasuki separuh masa kedua, pasukan kendalian Yusri Che Lah kekal menguasai perlawanan sebelum menggandakan kelebihan menerusi jaringan Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-70 hasil hantaran Elvis Kamsoba.
Malang buat Kelantan TRW apabila usaha mereka untuk bangkit terus direncatkan tiga minit kemudian selepas M. Rakesh tertolak bola ke gawang sendiri ketika cuba menyekat asakan Wilmar, sekali gus menghadiahkan gol ketiga kepada IFC (73’)
Kelantan TRW hampir meraih gol saguhati pada minit ke-75 menerusi Albert San Kang, namun jaringan itu dibatalkan selepas bola didapati terlebih dahulu terkena tangan Muhammad Syafiq Ismail di dalam kotak penalti. -BERNAMA