Malaysia tidak jual bahan api kepada negara ASEAN

Foto RTM

CEBU, 7 Mei – Malaysia tegaskan tidak menjual bahan api kepada negara anggota ASEAN kerana masih mengimport sekitar 400,000 tong minyak mentah sehari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia tidak mengeksport bahan api kepada negara ASEAN kerana negara masih menjadi pengimport minyak mentah.
  • Malaysia kekal pengeksport bersih LNG; lebihan bekalan membantu mengimbangi kekurangan sektor minyak mentah.
  • Kerajaan memberi jaminan mengekalkan subsidi RON95 pada RM1.99 seliter walaupun impak konflik geopolitik masih terkawal.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Jelasnya, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini masih bergantung kepada import minyak mentah dalam jumlah yang besar, sekali gus menjadikannya sebagai pengimport bersih minyak.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan Malaysia tidak dapat mengeksport minyak kepada negara jiran, termasuk dalam kalangan negara ASEAN.

“Kita (Malaysia) bertuah kerana masih ada lagi minyak kita sendiri tetapi dalam masa sama kita masih perlu mengimport 400,000 tong. Jadi, apa yang berlaku, serta-merta kesannya kepada semua negara ASEAN termasuk industri pengangkutan dan logistik,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk Seri Johari menjelaskan bagi gas asli cecair (LNG), Malaysia masih kekal sebagai pengeksport bersih dan lebihan bekalan LNG itu sedikit sebanyak membantu mengimbangi kekurangan dalam sektor minyak mentah.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan masih mampu mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter walaupun negara berdepan cabaran geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat.

“Kesan konflik tersebut terhadap Malaysia masih berada pada tahap terkawal, namun berharap agar keadaan dapat diselesaikan segera walaupun tiada kepastian bila ia akan berakhir,” katanya lagi.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN di sini.