Pemimpin Myanmar belum dibenarkan sertai mesyuarat rasmi ASEAN

Foto RTM

CEBU, 7 Mei – ASEAN masih belum bersedia menerima permohonan Myanmar untuk membenarkan pemimpin politik negara itu menghadiri mesyuarat rasmi ASEAN sebagai wakil negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan Myanmar belum diterima pakai pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN buat masa ini.
  • ASEAN akan terus mengadakan libat urus untuk memastikan saluran komunikasi terbuka dan memantau perkembangan di Myanmar.
  • ASEAN menyatakan rasa kurang senang terhadap penindasan berterusan dan kesukaran penghantaran bantuan kemanusiaan.
  • Pengiktirafan kerajaan baharu Myanmar bergantung kepada pematuhan sepenuhnya terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dimaklumkan susulan cadangan dan permohonan daripada pihak Myanmar agar pemimpin mereka dibenarkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina.

“Pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN, permohonan tersebut belum dapat diterima pakai buat masa ini.

Namun ASEAN akan terus mengadakan libat urus dengan Myanmar bagi memastikan saluran komunikasi kekal terbuka dan perkembangan semasa di negara itu dapat terus dipantau,” katanya.

“Kita akan terus mengadakan ‘engagement’ supaya mereka itu kekal berhubung dan kita membuka saluran perhubungan antara mereka supaya kita dapat lihat perkembangan yang berlaku di negara tersebut,” tambah beliau kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini.

Tambah beliau, ASEAN juga menyatakan rasa ‘kurang senang’ terhadap situasi semasa di Myanmar yang masih menyaksikan penindasan berterusan serta kesukaran menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang memerlukan.

“Banyak bantuan kemanusiaan berdepan halangan dan ada antaranya gagal disampaikan kepada golongan sasaran,” ujarnya.

Sehubungan itu, ASEAN mahu kerajaan baharu Myanmar yang ditubuhkan selepas pilihan raya benar-benar mematuhi Konsensus Lima Perkara ASEAN sebelum sebarang pengiktirafan terhadap keabsahan kerajaan negara itu dapat dipertimbangkan dalam mesyuarat akan datang.