Aaron–Wooi Yik hampiri gelaran juara Terbuka Malaysia

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjerit kegembiraan selepas menewaskan beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik optimis memburu gelaran juara apabila berjaya melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke final Terbuka Malaysia selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam separuh akhir.
  • Mereka optimis dan kekal fokus, tidak mahu berada dalam zon selesa serta mahu menikmati permainan.
  • Kelebihan beraksi di laman sendiri dilihat beri suntikan semangat tambahan untuk perlawanan akhir yang seimbang.

Gandingan pilihan kedua kejohanan itu bertekad mengekalkan momentum cemerlang serta memberi fokus sepenuhnya meskipun berdepan cabaran sengit daripada pasangan pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae.

Aaron mengakui aksi final dijangka seimbang, namun kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberi suntikan semangat tambahan buat mereka.

“Memang sudah lama kami tidak bertemu mereka. Tahun lalu mereka beraksi sangat baik, tetapi ini kejohanan pertama kami bertemu tahun ini. Saya lihat perlawanan esok adalah 50-50, namun kami ada sedikit kelebihan kerana bermain di laman sendiri,” katanya.

Sementara itu, Wooi Yik menegaskan mereka tidak mahu berada dalam zon selesa, sebaliknya hanya mahu menikmati permainan dan mempamerkan aksi terbaik di gelanggang.

“Saya dan Aaron hanya fokus untuk menikmati permainan. Walaupun sebelum ini mungkin ada jangkaan yang tidak tercapai, kami tetap berusaha memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan dan itu yang paling penting,” jelasnya.

Terdahulu, pasangan negara menempah slot final selepas menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, 23-21, 21-18 pada aksi separuh akhir.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron–Wooi Yik kini selangkah lagi untuk menjulang gelaran di hadapan penyokong sendiri.