
PUTRAJAYA, 24 Jun – Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) serta Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) Tahun 2026 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan di seluruh negara, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
- Pelaksanaan melibatkan pentaksiran berterusan, peperiksaan bertulis dan Pentaksiran Hifz al-Quran yang dijalankan secara serentak.
- Tarikh penting: PCHI dan Amali Solat 29 Jun-28 Sept; IKP Hifz 3-6 Ogos; Peperiksaan bertulis 2-5 Nov.
- Semua calon berdaftar wajib menduduki PCHI dan Amali Solat; JAKIM mengingatkan ibu bapa, penjaga dan sekolah memastikan kehadiran.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pelaksanaan penilaian itu melibatkan komponen pentaksiran berterusan, peperiksaan bertulis dan Pentaksiran Hifz al-Quran yang akan dijalankan secara serentak.
Menurut beliau, pelaksanaan akan melibatkan beberapa komponen pentaksiran seperti, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan Amali Solat yang akan dilaksanakan dari 29 Jun hingga 28 September depan, mengikut waktu persekolahan.
“Pentaksiran Al-Quran pula dijadualkan berlangsung dari 28 September hingga 16 Oktober, manakala Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) Hifz al-Quran akan diadakan pada 3 hingga 6 Ogos.
Manakala, peperiksaan bertulis UPKK pula akan berlangsung dari 2 hingga 5 November seperti jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua calon yang berdaftar diwajibkan menduduki pentaksiran PCHI dan Amali Solat kerana kedua-dua komponen itu merupakan sebahagian daripada penilaian keseluruhan UPKK.
JAKIM turut mengingatkan ibu bapa, penjaga serta pihak sekolah supaya memastikan calon hadir mengikut jadual yang ditetapkan bagi melancarkan proses pentaksiran dan peperiksaan.