Hakim Danish enggan leka, buru podium di Assen

Hakim Danish mahu hadiahkan podium di Assen/Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan fokus sepenuhnya kepada pusingan seterusnya di Litar TT Assen, Belanda hujung minggu ini selepas mencipta kemenangan sulung dalam saingan Moto3 Grand Prix Republik Czech.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran podium sekali lagi di Assen, bertekad beri aksi terbaik untuk penyokong Malaysia.
  • Hargai kehadiran rakyat Malaysia yang dijangka datang menyaksikan perlumbaan di Belanda.
  • Hubungan baik dengan pelumba lain tingkatkan motivasi dan persaingan sihat yang menambah baik prestasinya.
  • Berkeyakinan tinggi selepas mencipta sejarah, berhasrat teruskan momentum positif untuk kukuhkan kedudukan musim ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu berkata, beliau menyasarkan satu lagi penamat podium selain bertekad memberikan aksi terbaik sebagai menghargai sokongan rakyat Malaysia yang dijangka hadir menyaksikan perlumbaannya di Belanda.

“Saya harap dapat menaiki podium sekali lagi seperti yang saya lakukan dalam perlumbaan sebelum ini. Saya akan memberikan yang terbaik kerana ramai rakyat Malaysia akan datang ke Assen untuk menyaksikan perlumbaan saya. Jadi, saya mahu menghadiahkan persembahan terbaik buat mereka.”

Hakim Danish berkata demikian ketika dihubungi RTM menjelang pusingan kelapan musim ini.

Beliau turut mengakui hubungan baik sesama pelumba banyak membantu meningkatkan motivasi serta mewujudkan persaingan sihat yang memberi impak positif kepada prestasinya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu kini berada pada tahap keyakinan tinggi selepas mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama memenangi perlumbaan Moto3 Grand Prix.

Beliau berharap momentum positif yang diraih di Republik Czech dapat diteruskan di Assen sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam saingan musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.