Hakim Danish hargai ucapan PM, tekad terus harumkan nama negara

Hakim Danish harap sokongan berterusan untuk sukan permotoran.

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ucapan tahniah yang diberikan susulan kejayaannya meraih kemenangan sulung pada Moto3 Grand Prix Republik Czech baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghargai sokongan pemimpin dan rakyat sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara.
  • Berharap sokongan pada pembangunan sukan permotoran diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi.
  • Sedang bersiap untuk pusingan Assen, berjanji terus bekerja keras mengekalkan momentum dan memburu kejayaan membanggakan.

Hakim Danish berkata, sokongan yang diterima daripada pemimpin negara dan rakyat Malaysia menjadi pembakar semangat untuknya terus berusaha mengharumkan nama negara di pentas perlumbaan antarabangsa.

Beliau turut berharap sokongan terhadap pembangunan sukan permotoran negara dapat terus diperkukuhkan bagi membantu melahirkan lebih ramai pelumba berpotensi pada masa depan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada PMX kerana mengucapkan tahniah kepada saya dan saya akan cuba mengharumkan nama negara nanti.

“Harapan saya, kalau dapat bantuan pun Alhamdulillah. Saya bersyukur kalau dapat tajaan daripada kerajaan untuk menyokong perlumbaan saya dan sukan permotoran. Terima kasih banyak-banyak,” katanya ketika dihubungi RTM.

Pelumba berusia 18 tahun itu kini giat membuat persiapan menghadapi pusingan kelapan Kejuaraan Dunia Moto3 di Litar TT Assen, Belanda hujung minggu ini.

Beliau berjanji akan terus bekerja keras bagi mengekalkan momentum cemerlang yang dipamerkan setakat ini selain memburu satu lagi keputusan membanggakan buat negara.

Kemenangan di Litar Brno sebelum ini turut melakar sejarah apabila menjadikan Hakim Danish rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan Moto3 Grand Prix dalam tempoh hampir sedekad.

Kali terakhir pencapaian itu diraih oleh Khairul Idham Pawi yang menjuarai Moto3 Grand Prix Jerman pada tahun 2016.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.