WiPers sasar empat emas acara tenis SUKMA

Jurulatih Tenis Wilayah Persekutuan, Abd Hazli Zainuddin/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Skuad tenis Wilayah Persekutuan (WiPers) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya empat pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih anggap sasaran realistik berdasarkan kualiti pemain dan prestasi semasa dalam latihan dan kejohanan persediaan.
  • Skuad diperkuatkan pemain bertaraf kebangsaan dan pemenang pingat Sukan SEA seperti Darrshan, Imran dan Daania.
  • Pemain utama Imran dan Darrshan menjalani program persiapan intensif melalui penyertaan Pro Circuit dan Terbuka Kuala Lumpur.
  • Perancangan sudah dimulakan sejak SUKMA Sarawak melibatkan proses pemilihan, saringan dan latihan berterusan selama dua tahun.

Jurulatih pasukan, Abdul Hazli Zainuddin berkata sasaran itu dianggap realistik berdasarkan kualiti pemain yang dimiliki selain prestasi semasa yang dipamerkan sepanjang latihan dan kejohanan persediaan.

Menurut beliau, pasukan turut menyimpan harapan untuk melepasi sasaran minimum berkenaan sekiranya semua pemain berjaya mengekalkan prestasi terbaik masing-masing.

“Sasaran kami adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat pingat emas tahun ini. Namun secara dalaman, kami mahu melakukan lebih baik daripada itu.

“Melihat kepada barisan pemain dan prestasi mereka sekarang, kami sangat yakin sasaran minimum empat emas itu mampu dicapai,” katanya ketika ditemui pada Majlis sidang media Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur di ibu negara.

Skuad WiPers kali ini diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain bertaraf kebangsaan dan pemenang pingat Sukan SEA, termasuk Darrshan Suresh Kumar, Imran Daniel Hazli dan Daania Daniella Hazli.

Hazli berkata pemain utama seperti Imran dan Darrshan kini menjalani program persiapan intensif menerusi penyertaan dalam beberapa kejohanan kompetitif termasuk Pro Circuit dan Terbuka Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi SUKMA.

Beliau menjelaskan perancangan untuk menghadapi temasya itu telah dimulakan sejak tamat SUKMA Sarawak, melibatkan proses pemilihan pemain, saringan dan latihan berterusan selama dua tahun.

“Kita sudah mula merancang sejak tamat SUKMA Sarawak. Pengurusan dan pasukan telah mengatur strategi selama dua tahun untuk proses rekrut, saringan dan sokongan penuh kepada semua pemain,” katanya.

Mengulas saingan yang bakal dihadapi, beliau menjangkakan Selangor, Sarawak dan Perak menjadi pencabar utama dalam perebutan pingat emas acara tenis.

Sementara itu, Imran Daniel Hazli dipilih sebagai ketua pasukan bagi mengetuai cabaran Wilayah Persekutuan berdasarkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.