
ALOR GAJAH, 24 Jun – Institusi Raja-Raja tidak seharusnya dikaitkan atau diheret ke dalam polemik politik, khususnya menjelang pilihan raya, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Institusi Raja-Raja tidak patut dikaitkan atau diheret ke dalam polemik politik, terutamanya menjelang pilihan raya.
- Sebarang kenyataan perbezaan pendapat adalah pandangan peribadi dan tidak wajar diperbesarkan sehingga mencetuskan suasana tidak sihat.
- Perdana Menteri menegaskan hubungan dan perbincangan dengan Tunku Mahkota Johor baik dan penuh persefahaman.
- Semua pihak diingatkan menghormati kedudukan institusi diraja dan elakkan kenyataan yang menimbulkan salah faham atau ketegangan.
Katanya, sebarang kenyataan yang berbentuk perbezaan pandangan merupakan pendapat peribadi dan tidak wajar diperbesarkan sehingga mencetuskan suasana yang tidak sihat.
“Tak usah memanaskan suasana. Pada pandangan saya, hubungan dan perbincangan saya dengan Tunku Mahkota Johor sangat baik serta penuh persefahaman.
“Pilihan raya adalah persaingan antara parti-parti politik. Jangan kaitkan dengan institusi diraja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu yang didakwa menyindir institusi diraja ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan di Johor, Isnin lepas.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan institusi diraja serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.