
ALOR GAJAH, 24 Jun – Kejayaan Malaysia melonjak lapan anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2026 membuktikan kecekapan perkhidmatan awam serta keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dalam melaksanakan dasar dan agenda pembangunan negara.
- Malaysia naik lapan anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, kini di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pencapaian hasil kecekapan dan komitmen seluruh pasukan perkhidmatan awam.
- Kestabilan politik disebut sebagai faktor utama meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa.
- Pencapaian ini mencerminkan peningkatan prestasi ekonomi, keberkesanan sistem penyampaian kerajaan dan daya saing negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen seluruh pasukan perkhidmatan awam yang memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut beliau, peningkatan kedudukan Malaysia dalam ranking antarabangsa itu turut didorong oleh kestabilan politik negara yang berjaya meningkatkan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.
“Prestasi kita (Malaysia) dalam tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar Perdana Menteri, tidak… (tetapi) sebab sistem (pentadbiran penjawat awam) itu, dan rakan-rakan dalam pasukan… sebab penjawat awam.
“Presiden (Serdar) sebut World Competitiveness Index (Penarafan Daya Saing Dunia), anda telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Saya kata terima kasih (kepada Presiden Serdar), tetapi saya tahu ini berlaku kerana pasukan perkhidmatan awam… kerana kecekapan dan perkhidmatan itu bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan di seluruh negara,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), di sini,hari ini.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, meningkat daripada kedudukan ke-23 tahun lalu.
Pencapaian itu merupakan antara kedudukan terbaik yang direkodkan negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mencerminkan peningkatan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan serta daya saing negara di peringkat global.
Hadir sama pada program sesi santai itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.