Acosta tempah slot Q2, masalah jentera jadi kebimbangan

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta / Foto BERNAMA

SEPANG, 30 Oktober – Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta mengesahkan kemaraan automatik ke sesi Kelayakan Kedua (Q2) Grand Prix Malaysia 2026 selepas menamatkan sesi latihan petang di kedudukan keempat terpantas di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Acosta bergelut dengan masalah kestabilan bahagian hadapan jentera dan menyifatkannya mengecewakan.
  • Pasukan perlu segera mengenal pasti penyelesaian sebelum kelayakan bagi memastikan jentera lebih stabil ketika membrek dan memasuki selekoh.
  • Reka bentuk teknikal Litar Sepang dan suhu trek tinggi menguji kestabilan pelumba dan jentera sepanjang hujung minggu.

Acosta mencatat masa satu minit 57.380 saat, ketinggalan 0.380 saat di belakang pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez yang mengungguli sesi berkenaan dengan catatan 1 minit 57.000 saat.

Pelumba Sepanyol itu menamatkan sesi di belakang Marc Marquez, Alex Marquez dan Ai Ogura, sekali gus memastikan tempat dalam kelompok 10 pelumba terpantas untuk mara terus ke Q2.

Bagaimanapun, Acosta mengakui masih berdepan masalah kestabilan pada bahagian hadapan jenteranya meskipun berjaya mencatat keputusan kompetitif pada hari pembukaan.

“Saya bergelut teruk dengan bahagian hadapan jentera. Kita lihat sama ada esok kami dapat melakukan sedikit penambahbaikan. Buat masa ini, keadaan ini agak mengecewakan bagi saya,” katanya ketika ditemui RTM
sejurus tamat sesi latihan.

Acosta berkata, pasukannya perlu segera mengenal pasti penyelesaian terhadap masalah itu sebelum sesi kelayakan berlangsung esok bagi memastikan jenteranya lebih stabil ketika membrek dan memasuki selekoh.

Litar Sepang yang terkenal dengan reka bentuk teknikal serta suhu permukaan trek yang tinggi turut menguji keupayaan pelumba dan jentera, khususnya dari segi kestabilan ketika mengharungi selekoh.

Acosta, yang pernah muncul juara dunia Moto2 di Sepang, selain menaiki podium pada musim lalu, bagaimanapun tidak menetapkan sasaran khusus menjelang perlumbaan hujung minggu ini.

“Buat masa ini, saya tidak menetapkan banyak sasaran. Kami perlu melihat perkembangan selepas melakukan penambahbaikan terhadap jentera,” katanya.

Kemaraan Acosta ke Q2 turut melengkapkan keputusan positif buat kem KTM apabila dua pelumba Red Bull KTM Tech3, Enea Bastianini dan Maverick Viñales, masing-masing menamatkan sesi di kedudukan ketujuh dan kelapan untuk turut mara secara automatik ke sesi kelayakan kedua.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.