SSM Perlis mula beroperasi Jun 2027, buka peluang atlet muda

Projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar dijangka mula beroperasi pada Jun 2027, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada atlet muda di utara tanah air untuk menggilap bakat sukan secara sistematik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengumuman disambut baik Menteri Belia dan Sukan selepas projek terbengkalai selama 12 tahun.
  • Berpotensi menjadi pusat kecemerlangan sukan zon utara melalui gabungan pendidikan dan latihan yang tersusun.
  • Kumpulan pertama seramai 75 murid Tingkatan Satu termasuk 52 lelaki dan 23 perempuan.
  • Mula dengan enam sukan teras; peluasan dijangka melalui Fasa Dua dengan peruntukan RM104 juta bawah RMK13.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengoperasian sekolah berkenaan selepas projek itu terbengkalai selama 12 tahun.

Beliau berkata, SSM Perlis berpotensi menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara, khususnya dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi melalui gabungan pendidikan dan latihan sukan yang tersusun.

“Ia bakal membuka peluang kepada lebih ramai anak muda dari Perlis dan negeri-negeri sekitarnya untuk menggilap bakat dalam persekitaran pendidikan dan latihan yang lebih sistematik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan pertama seramai 75 murid Tingkatan Satu, terdiri daripada 52 lelaki dan 23 perempuan, dijangka memulakan persekolahan pada Jun 2027.

Pada peringkat awal, sekolah itu akan menawarkan enam jenis sukan, iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw.

Menurut Dr Mohammed Taufiq, penawaran sukan dijangka diperluas menerusi pelaksanaan Fasa Dua dengan peruntukan RM104 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau turut menyambut baik persiapan Kementerian Pendidikan dalam memastikan pengoperasian sekolah dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pada Januari 2027, diikuti guru serta jurulatih pada Mac tahun sama.

Katanya, kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Pendidikan penting bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet murid, daripada peringkat sekolah hingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.

“Penantian 12 tahun kini berakhir, dan masanya telah tiba untuk anak muda di utara tanah air bangkit mengharumkan nama Perlis dan Malaysia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.